Pasukan Red Bull KTM Factory Racing memulakan kempen Kejuaraan Dunia FIM EnduroGP 2026 dengan penuh bergaya apabila dua pelumbanya, Josep Garcia dan Andrea Verona mencatat kemenangan serta podium pada pusingan pembukaan di Custonaci, Sicily.
Garcia muncul juara keseluruhan pada hari pertama selepas mempamerkan tunggangan konsisten dengan memenangi empat ujian (tests) serta beberapa kedudukan tiga terbaik lain, sekali gus turut menjuarai kategori Enduro1.
Pada hari kedua, pelumba Sepanyol itu berdepan cabaran lebih sukar susulan beberapa kesilapan awal, namun berjaya bangkit untuk menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan, selain meraih satu lagi kemenangan dalam kelas Enduro1.
“Perlumbaan pertama musim ini dah selesai dan hari Sabtu memang berjalan lancar. Hari ini saya rasa sangat baik, tapi saya terjatuh dalam cross test dan buku lali saya sedikit terseliuh, jadi agak susah untuk kembali dapatkan rentak.
“Tapi saya tetap gembira dapat habiskan perlumbaan dengan kuat, ambil tempat ketiga keseluruhan dan satu lagi kemenangan dalam Enduro1. Tinggalkan Itali sebagai pendahulu keseluruhan memang permulaan yang bagus, dan saya dah tak sabar untuk pusingan di Sepanyol,” katanya.
Sementara itu, Verona yang beraksi di laman sendiri turut menyerlah dengan prestasi konsisten sepanjang hujung minggu. Pelumba Itali itu menamatkan hari pertama di tempat ketiga keseluruhan sebelum meningkatkan aksi pada hari kedua untuk meraih tempat kedua keseluruhan. Dalam kategori Enduro2, Verona tampil dominan apabila memenangi kedua-dua perlumbaan, sekali gus mengesahkan penguasaan dalam kelas tersebut.
“Kami dah habiskan hujung minggu pertama EnduroGP dan memang saingan sangat rapat dari awal sampai habis. Hari ini saya rasa lebih selesa atas jentera dan berjaya perbaiki prestasi berbanding semalam, kurang buat kesilapan dan lebih konsisten.
“Jurang masa pun sangat dekat, jadi saya gembira dapat menang Enduro2 dan tempat kedua keseluruhan, walaupun hanya beberapa saat dari kemenangan. Ini permulaan yang baik dan saya tak sabar untuk pusingan kedua di Sepanyol,” ujar Verona.
Keputusan cemerlang ini menyaksikan KTM menguasai kedudukan kejuaraan dengan Garcia mendahului carta EnduroGP dan Enduro1, manakala Verona berada di tangga kedua keseluruhan serta menerajui Enduro2 dengan kelebihan lapan mata.
Garcia mengakui berpuas hati dengan permulaan musim walaupun berdepan sedikit masalah kecederaan ringan, manakala Verona menyifatkan prestasi konsisten menjadi kunci kejayaannya di pusingan pembukaan.
Saingan EnduroGP 2026 akan diteruskan ke pusingan kedua di Sepanyol pada 1 hingga 3 Mei, dengan kedua-dua pelumba KTM dilihat berada di landasan terbaik untuk terus mencabar kejuaraan musim ini.


