Dalam aksi pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang, pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan prestasi dominan apabila menjuarai Perlumbaan 1 dengan kelebihan selesa 4.026 saat di hadapan pencabar terdekat.
Juara bertahan daripada JDT Racing Team itu memanfaatkan sepenuhnya keupayaan jentera Ducati Panigale V4 R miliknya untuk mendahului perlumbaan sejak awal sebelum melintasi garisan penamat tanpa dicabar.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Jepun, Keito Abe, manakala rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar melengkapkan kedudukan podium di tangga ketiga.
Sebagai tambahan kepada persaingan di litar, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) memperkenalkan insentif baharu bagi musim 2026 menerusi anugerah ‘Dunlop Sportsman Award’ khusus buat pelumba kelas Asia Superbike 1000 (ASB1000) yang berjaya mencatat New Lap Record sepanjang musim dalam sesi kelayakan.
Ganjaran kewangan tersebut merupakan salah satu langkah bagi meningkatkan tahap kompetitif dalam kelas ASB1000 yang diperkenalkan pada tahun lalu.
Sebanyak 1,000,000 JPY (USD6,500) akan diberikan kepada pelumba yang mencatat New Lap Record bagi setiap pusingan sesi kelayakan, melibatkan enam pusingan keseluruhan musim ini.
Selain itu, ganjaran tambahan 1,000,000 JPY (USD6,500) turut disediakan kepada pelumba Best Qualifier keseluruhan musim, yang akan ditentukan melalui sistem mata pada pusingan akhir.
Secara keseluruhan, jumlah ganjaran yang ditawarkan mencecah USD45,500 atau kira-kira RM187,000.
Menurut penganjur, inisiatif berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pelumba ASB1000, malah membantu pasukan mempertingkatkan prestasi jentera masing-masing sepanjang musim berlangsung.
Kemenangan bergaya Hafizh di Sepang sekali gus memberikan petanda awal bahawa pelumba negara itu berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.


