Malaysia Buktikan Kelas Dunia Dalam Pelancaran MotoGP 2026

Hujan lebat yang turun pada awal malam tidak menghalang ribuan peminat membanjiri kawasan KLCC untuk menyaksikan pelancaran rasmi musim MotoGP 2026. Sebaik sahaja cuaca kembali reda, kawasan sekitar Menara Berkembar PETRONAS bertukar menjadi pentas aksi, dengan deruman enjin MotoGP bergema di tengah‑tengah ibu kota. Acara ini menandakan edisi kedua pelancaran musim MotoGP selepas Bangkok tahun lalu, namun Kuala Lumpur menaikkan tahap penganjuran dengan skala yang lebih besar dan suasana bandar yang hidup.

Foto: Armel Syafie / Tarmac Sports

Pelancaran berpusat di sekitar KLCC, termasuk pentas utama dan laluan bandar, dengan anggaran 20,000 ribu peminat yang hadir sepanjang dua hari. Penganjuran disusun sebagai festival bandar: bermula dengan paparan gaya Pit Box di pintu masuk KLCC sebelum jentera dihidupkan untuk sesi jalan raya. Hujan yang turun sebelum acara utama sempat menimbulkan debaran, namun reda tepat pada masanya untuk membolehkan para pelumba beraksi.

Apabila cahaya kota kembali memantul di permukaan jalan yang masih basah, barisan penuh pelumba kelas premier memasuki laluan khas sepanjang kira‑kira 1.5km di Jalan Ampang sebelum diperkenalkan di pentas utama. Aksi seperti ‘stoppies’, mencetuskan sorakan bergema di sepanjang kawasan penonton, lengkap dengan latar megah Menara Berkembar PETRONAS.

Foto: MotoGP

Antara nama besar yang tampil termasuk juara dunia musim 2025 Marc Márquez, Francesco Bagnaia, serta Marco Bezzecchi. Antara pelumba yang turut menjadi perbualan ramai peminat di sekitar KLCC adalah rookie, Diogo Moreira dan juga juara dunia World Superbike, Toprak Razgatlıoğlu. Dua pelumba yang tidak dapat hadir ialah Fermin Aldeguer, yang sedang menjalani pemulihan, serta Fabio Quartararo yang mengalami kecederaan patah jari selepas terjatuh ketika ujian pramusim di Sepang dan telah kembali ke Sepanyol untuk rawatan serta pembedahan. Setiap pasukan bergerak mengikut giliran, menyempurnakan pusingan bandar sebelum menyapa peminat di pentas, sebuah format persembahan yang memberi peluang dekat kepada peminat untuk melihat mesin dan pelumba dari jarak hampir.

Pelancaran ini bukan sekadar tentang jentera. Pentas KLCC turut bergema dengan persembahan artis tempatan DOLLA, juga persembanhan antarabangsa DJ PAWSA, dan The Script yang menghidupkan suasana seperti festival, diakhiri dengan momen para pelumba naik ke pentas bagi penutup yang meriah. Aliran acara rasmi bermula sekitar 7.30 malam, sementara jentera pertama keluar sekitar 8.00 malam, tepat selepas hujan reda dan keadaan lebih selamat.

Klimaks malam pelancaran hadir selepas seminggu aktiviti di kota. Fan Zone di Suria KLCC dibuka dari 2–7 Februari, menawarkan pameran interaktif yang membawa pengalaman paddock ke ruang awam.

Dalam masa sama, pasukan menjalani shakedown dan ujian pra‑musim di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menjadikan Malaysia pusat tumpuan permotoran dua roda sepanjang tempoh tersebut.

Musim 2026 membawa makna besar dari sudut teknikal: ini adalah tahun terakhir enjin 1000cc digunakan sebelum peralihan kepada 850cc bermula pada 2027. Ertinya, 2026 menjadi peluang terakhir bagi pengeluar dan pelumba memerah sepenuhnya pakej yang telah matang dibangunkan sejak bertahun‑tahun.

Di sisi lain, pihak pengurusan MotoGP menekankan bahawa sambutan luar biasa di Kuala Lumpur mencerminkan pertumbuhan global sukan ini, rekod menunjukkan peningkatan fandom sekitar 15%. Dalam konteks tempatan, perbincangan mengenai pembaharuan kontrak Malaysia selepas 2026 sedang berjalan dan digambarkan berada pada landasan positif.

Selepas acara di Kuala Lumpur berakhir, pasukan MotoGP akan bergerak ke Buriram untuk menjalani ujian pra‑musim pada 21–22 Februari. Kempen 2026 kemudian akan bermula di Thailand dari 27 Februari hingga 1 Mac. Malaysia pula dijangka kembali menjadi tumpuan antarabangsa apabila Petronas Grand Prix of Malaysia berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related