Ujian Sepang MotoGP: Yamaha Hentikan Aktiviti Ujian Selepas Isu Teknikal V4

Yamaha sekali lagi mencuri perhatian di Ujian Rasmi MotoGP Sepang apabila pasukan itu menghentikan sementara aktiviti di trek bagi menyiasat masalah teknikal yang dikesan pada Hari Pertama. Isyarat awal mengenai isu pada komponen enjin mendorong pasukan mengambil langkah berjaga‑jaga dengan menahan semua pelumba di pit pada sesi pagi Hari Kedua.

Keputusan ini dibuat sehari selepas Fabio Quartararo terjatuh akibat insiden ‘lowside’ berkelajuan tinggi di Selekoh 5 yang menyebabkan kecederaan jari dan menamatkan penyertaannya lebih awal. Walaupun insiden tersebut tidak berkait dengan isu teknikal, masalah berasingan muncul ketika beliau cuba menyambung sesi pada petang hari sama, dan di situlah Yamaha mengesan tanda awal isu yang perlu diberi perhatian.

Pada mulanya Quartararo menyangka masalah yang dialaminya berpunca daripada sistem elektronik, namun siasatan dalaman kemudian memberi petunjuk bahawa punca sebenar lebih cenderung melibatkan bahagian enjin V4. Susulan itu, Yamaha mengambil langkah berhenti sementara untuk memberi ruang kepada jurutera meneliti punca sebenar sebelum membenarkan sebarang aktiviti di trek disambung.

Pasukan menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat semata‑mata atas faktor keselamatan, dan aktiviti hanya akan diteruskan selepas semua pemeriksaan selesai. Walaupun tidak memberikan garis masa yang khusus, Yamaha menegaskan mereka komited untuk kembali ke trek secepat mungkin sebaik sahaja risiko dapat dikawal sepenuhnya.

Dengan Quartararo tidak dapat meneruskan ujian, tugasan pembangunan V4 sepatutnya diteruskan oleh lima pelumba lain: Alex Rins, Jack Miller, Toprak Razgatlioglu serta dua pelumba ujian, Augusto Fernandez dan Andrea Dovizioso. Namun, kesemuanya tidak dibenarkan memasuki trek sepanjang permulaan Hari Kedua sementara siasatan dijalankan, sekaligus menimbulkan kebimbangan bahawa baki sesi ujian turut berisiko terjejas jika punca belum dikenal pasti.

Meskipun begitu, Yamaha menjelaskan bahawa sejumlah besar data penting telah pun dikumpulkan semasa shakedown minggu lalu dan Hari Pertama ujian rasmi. Hari‑hari selebihnya di Sepang ini sepatutnya digunakan untuk memperhalusi aspek elektronik dan enjin mapping, tetapi pasukan tetap yakin bahawa asas pembangunan berada pada tahap yang memuaskan.

Dari sudut prestasi, enjin V4 baharu ini diharapkan mampu merapatkan jurang kelajuan dengan pasukan lain, terutamanya di laluan lurus. Namun, maklum balas awal menunjukkan kuasa puncaknya masih belum menepati sasaran. Yamaha difahamkan sedang menunggu spesifikasi enjin yang lebih baharu, walaupun peningkatan tersebut dijangka hanya tiba dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, selepas perlumbaan pembukaan di Buriram.

Kata Fabio dalam sesi temu bual semalam,

“V4 kami tidak sepenuhnya seperti yang lain. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, terutamanya dari segi membelok, cengkaman, traksi, elektronik dan kuasa.

“Saya tidak boleh kata saya yakin. Meskipun pada sesi hari ini kami prestasi agak luar biasa dan kepantasan amat memberangsangkan tetapi kami sendiri mengetahui betapa kami masih bergelut. Masa pusingan kami tidak begitu baik. Pengeluar lain pula sangat laju.

Walaupun terlibat dalam kemalangan, Quartararo sempat muncul sebagai pelumba Yamaha terpantas pada Hari Pertama dengan jentera V4. Setelah berbincang dengan pasukan, keputusan dibuat untuk menamatkan ujiannya lebih awal dan kembali ke Eropah untuk pemeriksaan lanjut. Dengan sebahagian besar pelan ujian sudah dipenuhi sewaktu shakedown, fokus kini dialihkan kepada pemulihan sepenuhnya menjelang perlumbaan pertama musim ini di Buriram.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related