Ujian Rasmi Pra-Musim Sepang: Marc Marquez Dominasi Hari Pertama, Bagnaia Tampil Positif Dengan Jentera Baru

Hari pertama ujian rasmi pra‑musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan penguasaan Marc Marquez apabila pelumba Ducati Lenovo itu menamatkan sesi dengan catatan masa terpantas, hanya 121 hari selepas mengalami kecederaan bahu serius pada Oktober lalu.

Insiden di GP Indonesia, Mandalika musim lalu, ketika perlanggaran dengan Marco Bezzecchi menyebabkan Marquez mengalami fraktur coracoid dan kecederaan ligamen, memaksanya berehat daripada baki musim dan terlepas ujian Valencia.
Selepas hanya kembali menunggang di trek pada Januari 2026, kemunculannya sebagai pelumba terpantas hari ini menjadi titik penting dalam perjalanan pemulihannya.

Walaupun masih dalam fasa pemulihan, Marc Marquez memilih pendekatan berhemah dengan melakukan sesi pendek bagi mengelakkan beban berlebihan pada bahunya.

Ketika ditanya mengenai sensasi pada tunggangan pertama hari ini, beliau berkata:

“Pagi tadi agak sukar… tapi petang saya lebih selesa.”

Namun sebaik sahaja memasukkan tayar baru, Juara Dunia itu terus melonjak catat masa terpantas, sesuatu yang beliau sendiri tidak jangka.

“Ia satu kejutan… tapi bukan yang paling penting.”

Bagi Marquez, keutamaan hari ini adalah mendapatkan kembali asas dan keserasian terhadap jentera GP26.

Topik panas yang tidak dapat dielakkan ialah kontraknya bersama Ducati, memandangkan laporan menunjukkan beliau dan Ducati kini berada pada fasa akhir rundingan lanjutan kontrak sehingga 2028.

Dalam satu kenyataan yang paling jujur setakat ini, Marquez menjawab:

“Kami semakin hampir sedikit demi sedikit. Jadi… ya, seperti yang saya katakan sejak awal, saya perlu menilai semua perkara, tetapi dengan Ducati, setiap masa kami semakin dekat dan saya sangat gembira dengan perkembangan ini.”

Jawapan tersebut secara jelas menggambarkan bahawa hubungan kedua-dua pihak berada dalam landasan positif, sekaligus menguatkan laporan bahawa pengumuman rasmi mungkin dibuat pada pelancaran MotoGP minggu hadapan.

Di sebelah garaj yang sama, Pecco Bagnaia memulakan pra‑musim dengan nada optimis. Pelumba Itali itu, yang melalui musim mencabar tahun lalu, tampil lebih yakin dengan jentera 2026. Pecco menamatkan hari pertama di tempat ke-8 dengan catatan masa 1’57.720.

Bagnaia menggambarkan hari pertamanya sebagai salah satu sesi yang sangat positif:

“Saya sangat menikmati tunggangan hari ini. Jentera 2026 ini… memang luar biasa.”

Ducati menggunakan hari ini untuk menguji fairing baharu, dan Bagnaia berjaya mengekalkan masa yang konsisten tanpa mengira keadaan tayar.

“Kami fokus pada fairing baru dan masa saya sama seperti fairing lama. Sebagai sentuhan pertama, hari ini sangat baik.”

Perkara paling utama yang menggembirakan Bagnaia ialah peningkatan pada kestabilan brek, kelemahan utama Ducati musim lalu.

Sebelum meninggalkan sesi media, beliau turut sempat berjenaka:

“Terima kasih sebab tak tanya pasal tahun depan!”

Hari pertama ujian pra‑musim di Sepang memperlihatkan prestasi kukuh dari kedua‑dua pelumba Ducati Lenovo:

  • Marc Marquez membuktikan kemampuan luar biasa dengan kembali sebagai pelumba terpantas walaupun baru pulih daripada kecederaan yang serius.
  • Pecco Bagnaia menunjukkan peningkatan konsisten dengan jentera baru dan optimis terhadap pakej aerodinamik Ducati.
  • Petunjuk mengenai masa depan Marquez bersama Ducati semakin jelas, dengan kenyataan beliau hari ini mengukuhkan laporan bahawa lanjutan kontrak sudah hampir dimuktamadkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related