Selepas musim cedera teruk, Jorge Martin sasar Buriram sebagai ujian penentu

Selepas melalui tahun yang memeritkan, enam kecederaan, dua pembedahan, dan berbulan-bulan berlumba dalam kesakitan, pelumba pasukan Aprilia, Jorge Martin akhirnya melihat garisan pemulihan yang lebih jelas. Walaupun beliau tidak menunggang pada ujian pra‑musim Sepang, kehadirannya di pit lane bukan sekadar simbolik: namun Juara Dunia MotoGP 2024 itu mahu masuk semula ke “mod berlumba”, menghadam semua maklum balas teknikal tentang RS‑GP 2026, melihat sendiri apa yang diuji oleh Lorenzo Savadori dan Marco Bezzecchi, apa yang memberi hasil positif, dan apa yang perlu dielakkan—supaya masa di Buriram tidak terbuang.

“Saya perlu masuk semula dalam mood berlumba, bersama pasukan, faham apa yang mereka cuba, apa yang lebih baik, apa yang kurang. Jadi bila ke Thailand nanti, saya sudah ada ‘ringkasan’ perkara yang perlu dicuba.”

Dari tepi trek, Martin suka dengan arah pembangunan RS‑GP 2026. Mengimbas kembali sensasi di Valencia, Martin merasakan pakej baru ini lebih mesra untuknya, dan membuka peluang sebenar untuk kembali pada tahap terbaik.

“Kami sambung dari mana kami berhenti. Saya rasa jentera bekerja dengan sangat baik. pakej ini lebih mudah untuk saya berbanding apa yang saya cuba di Valencia.”

Selepas Valencia, Martin pada mulanya menyangka segalanya terkawal. Namun beberapa hari kemudian, kesakitan kembali menghantui pelumba Sepanyol itu pada tangan dan tulang selangkanya hingga memaksanya menjalani pemeriksaan kedua. Dari situ, doktor menemui jawapan kenapa musimnya sukar dan Jorge Martin terus bergelut – terdapat tulang yang belum bercantum sepenuhnya, dan pembedahan kedua terpaksa di jalankan pada bulan Disember. Keputusan ini menjadi satu-satunya jalan baginya.

“Sekarang saya rasa jauh lebih baik berbanding di Valencia. Beberapa hari selepas perlumbaan, rasa sakit datang semula di tangan dan tulang selangka. Saya terpaksa jalani pembedahan sekali lagi kerana ada tulang yang belum sembuh. Memang ada hari-hari yang meragukan, tetapi saya putuskan ini terbaik untuk masa depan saya supaya akhirnya saya capai kembali (kondisi) saya 100%.”

Pembedahan kali ini lebih agresif dan lebih terancang. Tulang dari pinggul diambil untuk membantu proses penyembuhan, plat yang lebih besar dipasang, dan lebih banyak skru digunakan. Perbezaan terbesar ialah disiplin pemulihan: bukannya boleh bebas bergerak selepas dua hari seperti dahulu, Martin direhatkan tanpa pergerakan selama empat minggu.

“Mereka ambil tulang dari pinggul… sekarang plat lebih besar, ada lebih banyak skru jadi tak mungkin akan bergerak. Kali pertama, dua hari selepas pembedahan saya sudah bergerak, tapi kali ini saya empat minggu langsung tak bergerak… saya yakin sekarang sudah sembuh.”

Gambaran penuh tentang keperitan musim lalu juga menjelaskan kenapa tubuhnya memerlukan masa yang lebih panjang untuk pulih. Di awal tahun, insiden di GP Qatar mengakibatkan enam tulang rusuk patah dan paru‑paru collapsed, dua kecederaan yang biasanya memerlukan pemantauan rapi dan rehat berjadual. Ketika menghampiri GP Thailand, sesi latihan pula berakhir dengan pergelangan tangan kiri retak, diikuti laporan tangan patah dan kaki patah pada Februari, deretan insiden yang mematahkan momentum pra‑musimnya. Menjelang GP Jepun pada September, Martin sekali lagi ditimpa malang apabila mengalami patah tulang selangka kanan yang beralih (displaced). Rentetan kecederaan inilah yang akhirnya memaksa penilaian semula secara menyeluruh, termasuk keputusan untuk terlepas ujian Sepang musim lalu dan kini, sekali lagi, mengutamakan pemulihan menyeluruh sebelum kembali menunggang.

Jorge Martin akan menjalani pemeriksaan lanjutan pada hari Isnin; jika lulus, beliau akan mula berlatih dengan jentera di Sepanyol sebelum berangkat ke Thailand.

“Ujian Thailand ialah sasaran. Kalau tidak ke sana, kami akan ulang musim tahun lepas.”

Secara fizikal, gambaran besar semakin cerah. Tulang selangka terasa dalam keadaan baik dan kekuatan makin pulih; tangan sudah “stabil 100%” tetapi masih perlu ditambah mobiliti dan kuasa; dan pergelangan tangan, yang dibedah lebih awal, sedikit perlahan tetapi berada pada landasan yang betul.

“Mungkin pergelangan tangan sedikit perlahan, tapi tulang selangka rasa sangat bagus. Tangan sudah pulih 100%, cuma perlu tambah kekuatan dan pergerakan. Saya akan capai 100% tak lama lagi, jadi saya tenang.”

Secara mental, dia juga kini berada di tempat yang lebih baik berbanding setahun lalu. 2025 ialah musim yang ditempuh pada sekitar 80% kemampuan, bertahan dengan kesakitan hampir setiap hujung minggu.

“Saya lebih matang sekarang. Musim lalu saya berlumba mungkin pada 80% dengan kesakitan. Sekarang saya tahu dalam dua, tiga, lima minggu saya akan 100%. Bila saya cergas, saya akan lawan dengan pelumba teratas.”

Di tengah segala perbualan tentang masa depan, termasuk khabar angin perpindahannya ke Yamaha Jorge Martin memilih untuk menutup buku itu buat sementara waktu. Fokusnya jelas: pulih, menunggang, dan menilai RS‑GP 2026 dengan jelas.

“Sebagai peminat, khabar angin memang kelakar. Tetapi kalau saya berada di sini, fokus saya adalah 2026 dan Aprilia. Soal masa depan, pasukan saya yang uruskan.”

Dalam konteks lebih luas, kisahnya ini mengingatkan ramai kepada Jorge Martín pada tahun lalu, yang turut dilanda kecederaan dan terlepas ujian Sepang, lalu berkejaran dengan masa untuk mendapatkan rasa pada pakej baru sejurus musim bermula. Pengalaman itu menjadi cermin amaran: jelas Jorge Martin ini tidak mahu sejarah berulang; itulah sebab Buriram dianggap garisan pemisah, antara musim yang bermula dalam kegelapan, atau musim yang dimulakan dengan terang dan yakin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related