Aprilia Racing ikat Marco Bezzecchi dengan kontrak jangka panjang baharu

Aprilia Racing secara rasmi mengesahkan kontrak baharu berbilang tahun bersama Marco Bezzecchi, sekali gus menjadikannya pelumba pertama yang mencetuskan pergerakan awal silly season MotoGP menjelang era 2027.

Walaupun terdapat beberapa pelumba yang sudah memiliki kontrak merentasi musim baharu, kebanyakan nama besar dijangka terlibat dalam perebutan kerusi yang sengit selepas ini.

Bezzecchi dan Aprilia menjadi pasukan pertama yang mengumumkan kesinambungan kerjasama mereka. Selepas musim 2025 yang cukup cemerlang, keputusan ini tidak mengejutkan peminat. Lebih menarik, Aprilia memilih pendekatan kreatif dengan menggambarkan pembaharuan kontrak tersebut seperti sebuah perkahwinan antara Bezzecchi dan jentera RS-GP kesayangannya yang digelar “Albarosa”.

Pengumuman itu disampaikan dalam bentuk “kontrak perkahwinan” yang unik, lengkap dengan terma simbolik melibatkan perkongsian komponen, penjagaan jentera, kesetiaan, pengurusan perlumbaan serta tempoh hubungan. Ia melambangkan ikatan erat antara pelumba dan jentera, termasuk janji Albarosa untuk menyalurkan kuasa mengikut putaran pendikit serta tidak menunjukkan “kecemburuan elektronik” terhadap jentera lain di grid.

Dari segi tempoh, perjanjian ini berkuat kuasa untuk beberapa tahun akan datang selagi Bezzecchi mahu terus berlumba dan selagi bahan api masih mengalir dalam sistem suntikan RS-GP.

Bezzecchi berkata:

“Saya sangat gembira dapat memperbaharui kontrak untuk dua tahun lagi. Sejak hari pertama menandatangani kontrak, sasaran saya adalah untuk membina projek jangka panjang. Saya gembira dengan sokongan seluruh pasukan dan kilang Noale. Saya harap dapat memberikan banyak kegembiraan kepada mereka, seperti mana mereka telah lakukan kepada saya.”

Pelumba Itali itu turut berkongsi beberapa hantaran di media sosialnya, termasuk gambar jenteranya yang dihiasi pelekat “Just Married” di bahagian belakang, dengan kapsyen berbunyi “Sì. Terima kasih Aprilia. Ia bermula sekarang”, seolah-olah meraikan ‘majlis perkahwinan’ simbolik bersama pasukannya.

Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola, menyatakan kepuasan terhadap pembaharuan kontrak tersebut.

“Pembaharuan ini adalah keutamaan kami. Kami mahu meraikannya dengan cara yang menyeronokkan dan selari dengan personaliti Marco. Hakikat bahawa Marco memilih untuk kekal bersama kami walaupun menerima pelbagai tawaran lain membuktikan semangat dan kerja keras pasukan ini.”

Sebagai rekod, dalam musim pertamanya bersama Aprilia Racing pada 2025, Bezzecchi muncul sebagai pelumba paling berjaya dalam sejarah pasukan Itali itu di MotoGP. Beliau mencatat tiga kemenangan perlumbaan utama di Silverstone, Portimão dan Valencia, tiga kemenangan perlumbaan pecut di Misano, Mandalika dan Phillip Island, selain mengumpul 15 penamat podium serta lima petak utama.

Prestasi konsisten itu membolehkannya menamatkan musim di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 353 mata.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related