09 Januari 2026 – Johor Motorsports Racing (JMR) dengan bangganya mengumumkan kerjasama utama baharu bersama XPEL, sebuah syarikat filem perlindungan automotif premium, bagi menghadapi musim perlumbaan akan datang. Kerjasama ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan JMR sebagai salah satu pasukan permotoran terkemuka di Asia.
Susulan kejayaan cemerlang JMR meraih podium di perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 pada September lalu, XPEL telah memperluaskan komitmennya daripada sekadar penaja acara kepada rakan kerjasama sepenuh musim bagi 2026.
Presiden JMR merangkap pemandu utama, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim (DYAM Prince Jefri Ibrahim), menyatakan bahawa XPEL merupakan rakan kongsi yang paling sesuai ketika JMR mensasarkan kejayaan berterusan dalam Intercontinental GT Challenge dan Asian Le Mans Series musim 2026.
“Saya telah menggunakan produk XPEL pada semua kereta saya sejak beberapa tahun lalu, jadi saya amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama rasmi bersama mereka bagi musim baharu ini,” katanya.
“Penyelesaian perlindungan XPEL sangat penting terutamanya dalam perlumbaan ketahanan, di mana jentera perlu berprestasi tinggi dan kekal dalam keadaan terbaik dari mula hingga ke penamat. XPEL adalah jenama yang berkongsi komitmen kami terhadap kecemerlangan, dan kami tidak sabar untuk bekerjasama rapat dalam mengejar kesempurnaan di dalam dan di luar litar.”

Asia merupakan pasaran pertumbuhan utama bagi XPEL, selari dengan usaha syarikat itu untuk mengembangkan perniagaan filem perlindungan dan salutan automotif premium melalui kerjasama strategik serta penglibatan pasaran tempatan.
Naib Presiden XPEL Asia Pasifik, Chris West, berkata terdapat persamaan yang ketara antara JMR dan XPEL, khususnya dari segi aspirasi terhadap prestasi dan ketepatan.
“JMR melambangkan kecemerlangan sama ada di atas litar mahupun di luar litar, dan XPEL berbangga untuk menyokong pasukan yang berkongsi komitmen kami terhadap prestasi dan ketepatan,” katanya.
“Ketika kami terus mengembangkan kehadiran di Asia, kerjasama ini membolehkan kami berhubung dengan peminat automotif yang bersemangat, di samping mempamerkan keupayaan produk perlindungan XPEL dalam persekitaran motorsport yang paling mencabar.”

Musim 2025 menjadi tahun yang cukup gemilang buat JMR, bermula dengan kemenangan debut yang mengesankan menggunakan Corvette Z06 GT3.R pada pusingan GT World Challenge di Sepang. Beberapa kejayaan podium dan kemenangan sepanjang musim menyaksikan Prince Jefri Ibrahim dinobatkan sebagai Naib Juara, selain pencapaian podium di Suzuka 1000 dan kejayaan menamatkan perlumbaan 24 Hours of Spa di Belgium.
Kalendar Perlumbaan 2026
Asian Le Mans Series:
- 31 Jan – 1 Feb: Dubai Autodrome
- 7 – 8 Feb: Yas Marina Circuit
Intercontinental GT Challenge:
- 13 – 15 Feb: Meguiar’s Bathurst 12 Hour
- 25 – 28 Jun: CrowdStrike 24 Hours of Spa
- 11 – 13 Sep: Suzuka 1000
- 8 – 10 Okt: Indianapolis 8 Hour


