Adrian Fernandez (Leopard Racing) muncul pelumba terpantas dalam sesi kelayakan Moto3 di Valencia selepas mencatat 1’36.990s, sekali gus memastikan kedudukan pole position untuk perlumbaan Ahad.
Rakan sepasukannya, David Almansa, turut mempamerkan aksi hebat untuk melengkapkan kedudukan petak(P) 1 dan 2 buat Honda, manakala Máximo Quiles (CFMOTO Valresa Aspar Team) akan memulakan perlumbaan dari Petak 3.
Sesi Q1 berlangsung sengit, namun empat pelumba berjaya melayakkan diri ke Q2 termasuk Stefano Nepa (SIC58 Squadra Corse), Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo), dan Dennis Foggia (CFMOTO Valresa Aspar Team) dan pelumba negara, Hakim Danish (FRINSA – MT Helmets – MSI)
Mereka menjadi antara pelumba yang mencorakkan saingan Q2 yang penuh taktikal.
Lima minit pertama Q2 agak sunyi, apabila hanya Taiyo Furusato, Guido Pini, dan Adrian Fernandez berada di trek. Furusato mencatat masa rujukan awal, 1’37.459s, sebelum kelompok lain mula melakukan pusingan terpantas pada separuh masa kedua sesi.
Almansa kemudian melonjak ke P2 dengan rekod baharu litar, menandakan kesungguhan Leopard Racing mendominasi hari tersebut. Namun, dengan 16 pelumba dipisahkan kurang satu saat, kedudukan grid masih belum selamat.
Pada usaha terakhirnya, Fernandez memacu Honda Leopard ke puncak, menewaskan Almansa dengan kelebihan 0.136s. Kedua-duanya menunjukkan rentak yang cukup konsisten untuk menghadirkan pertarungan sesama pasukan pada hari perlumbaan.
Barisan Hadapan & Sorotan Lain
P3 – Máximo Quiles
Quiles mengekalkan prestasi memberangsangkan dengan meraih kedudukan barisan depan bagi tiga perlumbaan GP terakhir yang turut menandakan beliau bakal menjadi satu ancaman besar untuk meraih kemenangan Ahad.
P4 – Luca Lunetta (SIC58 Squadra Corse)
Menduduki barisan kedua selepas penampilan kukuh sepanjang sesi.
P5 – Marco Morelli (GRYD MLav Racing)
Menjadi pelumba keempat Honda dalam kelompok lima tempat teratas bagi saingan ini sekaligus membuktikan dominasi pengeluar Jepun itu di Valencia.
P6 – Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo)
Melengkapkan barisan kedua dengan keyakinan tinggi menuju hari perlumbaan.
Pemain utama lain
- Stefano Nepa berada di P7 – posisi grid 10 teratas pertamanya sejak COTA.
- Angel Piqueras, pencabar gelaran di P2 keseluruhan, hanya bermula dari P10, memberi cabaran tambahan untuk memburu mata penting.
Dengan Leopard Racing berada dalam prestasi terbaik dan jarak masa yang sangat rapat di kalangan kelompok depan, perlumbaan Moto3 di Valencia, dijangka penuh drama serta potensi aksi sengit hingga ke garisan penamat.


