Program pembangunan pelumba muda terkemuka dunia, Road to MotoGP kini memasuki fasa baharu dengan penjenamaan dan struktur yang lebih tersusun bagi membuka laluan jelas kepada generasi pelumba masa depan untuk ke pentas tertinggi sukan dua roda itu.
Bermula tahun 2026, kejohanan FIM JuniorGP akan dikenali sebagai MotoJunior, melengkapkan perjalanan sistematik dari peringkat akar umbi hingga ke MotoGP.
Road to MotoGP selama ini menjadi platform unik dalam dunia sukan, kerana ia menyediakan rangka pembangunan menyeluruh bagi pelumba muda dari seluruh dunia, tanpa mengira latar belakang atau negara asal. Dengan penjenamaan baharu ini, laluan ke MotoGP kini mempunyai identiti yang lebih kukuh bermula daripada MotoMini, kemudian Moto4, dan akhirnya MotoJunior setiap peringkat dirangka untuk melatih dan menggilap bakat muda secara progresif.
Perjalanan bermula dengan FIM MotoMini World Series, inisiatif global pertama yang diwujudkan untuk mencipta kesamarataan di peringkat akar umbi. Siri ini menampilkan dua kategori 160cc (umur 10–14 tahun) dan 190cc (umur 12 tahun ke atas) dengan pelumba bertanding di litar kart di seluruh dunia. Pelumba terbaik setiap siri kebangsaan kemudiannya akan dijemput ke Final Dunia MotoMini di Valencia, yang berlangsung menjelang penutup musim MotoGP.
Seterusnya, pelumba berbakat akan mara ke peringkat Moto4, yang terbuka untuk pelumba berumur 14 tahun ke atas, dengan penggunaan jentera Honda NSF250R bagi memastikan persaingan adil dan seimbang. Peringkat ini merangkumi pelbagai siri di seluruh dunia seperti Momoven Moto4 European Cup, Idemitsu Moto4 Asia Cup, Moto4 Northern Cup, R&G Moto4 British Cup, dan Moto4 Latin Cup semuanya berfungsi sebagai pintu masuk ke peringkat lebih tinggi.
Peringkat akhir dalam sistem ini ialah Red Bull MotoGP Rookies Cup dan FIM Moto3 Junior World Championship, yang kini menjadi sebahagian daripada MotoJunior World Championship. Dalam kategori ini, pelumba berumur 15 tahun ke atas akan berlumba di bawah naungan MotoGP di beberapa litar utama Eropah.
Sementara itu, Moto2 European Championship dan Moto4 European Cup turut termasuk dalam struktur MotoJunior, masing-masing menjadi laluan langsung ke kejohanan dunia Moto2 dan peringkat permulaan bagi pelumba baharu.
Era baharu ini secara rasmi bermula dengan FIM MotoMini World Final 2025 di Valencia, yang bakal menampilkan identiti baharunya sebelum seluruh struktur Road to MotoGP dilancarkan secara rasmi pada musim berikutnya. Selain itu, program ini turut memperkenalkan insentif khas kepada pasukan yang memberi peluang kepada pelumba dari negara-negara yang kurang diwakili dalam sukan ini.
Presiden FIM, Jorge Viegas, berkata perubahan ini merupakan langkah penting untuk menjadikan sukan ini lebih inklusif dan global.
“Kami mahu memastikan setiap pelumba muda, tidak kira dari mana asalnya, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya. MotoGP kini mempunyai peminat dari seluruh dunia, jadi sudah tiba masanya trek juga mencerminkan kepelbagaian itu. Kami yakin dengan struktur baharu ini, kita akan melihat lebih ramai juara baharu dari negara-negara baharu di masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta, menegaskan bahawa pembaharuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh asas sukan tersebut.
“Road to MotoGP adalah kebanggaan kami. Struktur baharu ini mewujudkan laluan yang lebih jelas untuk pelumba muda, ibu bapa dan peminat di seluruh dunia. Ia juga menjadi asas kukuh untuk mengembangkan sukan ini ke tahap global yang lebih besar.
Dengan penjenamaan dan struktur baharu ini, Road to MotoGP kini lebih jelas, inklusif dan berpandangan jauh, menjadikan impian pelumba muda untuk menjejakkan kaki ke pentas MotoGP semakin realistik dan terbuka luas.


