Marc Marquez terlepas dua Grand Prix akibat kecederaan bahu

Juara Dunia MotoGP yang baru dinobatkan, Marc Marquez, disahkan akan terlepas dua perlumbaan seterusnya selepas mengalami kecederaan serius pada bahu kanan susulan insiden terjatuh ketika Grand Prix Indonesia.

Selepas pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan pada tulang belikat kanannya, pelumba Ducati Lenovo Team itu telah menjalani pembedahan berjaya di Hospital Antarabangsa Ruber, Madrid, Sepanyol.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pasukan perubatan yang sama telah memeriksa Marquez tujuh hari sebelumnya dan mendapati retakan pada pangkal proses korakoid serta kerosakan ligamen tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memuaskan selepas seminggu diimobilisasikan iaitu pelan rawatan awal.

Justeru, disebabkan risiko ketidakstabilan kekal (residual instability), keputusan dibuat untuk melaksanakan pembedahan penstabilan serta membaiki ligamen akromioklavikular.

Pembedahan ini sebenarnya merupakan salah satu pilihan rawatan yang telah dipertimbangkan sejak awal sekiranya rawatan konservatif gagal memberikan hasil. Dengan pembedahan kini berjaya dilakukan dan Marquez sudah pulang ke rumah, pelumba bernombor #93 itu akan meneruskan proses pemulihan dengan pemantauan rapi.

Tahap pemulihannya akan menentukan bila beliau dapat kembali berlumba, dan buat masa ini, pelumba ujian Ducati, Michele Pirro, akan menggantikan tempatnya hujung minggu ini di Grand Prix Australia.

Sebelum pembedahan, hasil pemeriksaan awal mendapati Marquez mengalami retakan di pangkal proses korakoid serta kecederaan ligamen bahu kanan. Pemeriksaan klinikal dan imbasan radiologi juga mengesahkan bahawa kecederaan terbaharu itu tidak mempunyai kaitan dengan kecederaan lama dan tiada pergerakan tulang signifikan dikesan.

Sebelum ini, pasukan perubatan di Hospital Antarabangsa Ruber yang diketuai oleh Dr. Samuel Antuña dan Dr. Ignacio Roger de Oña pada awalnya memilih pendekatan rawatan konservatif tanpa pembedahan, melibatkan rehat penuh dan imobilisasi bahu kanan sehingga tulang kembali kukuh.

Namun, apabila pemulihan tidak menunjukkan perkembangan positif, langkah pembedahan diambil sebagai jalan terbaik.

Dalam kenyataannya, Marquez berkata:

“Nasib baik kecederaan ini tidak terlalu serius, tetapi saya perlu menghormati tempoh pemulihan yang disarankan doktor. Matlamat saya adalah untuk kembali sebelum musim berakhir, tetapi saya tidak mahu terburu-buru dan melangkaui nasihat perubatan.

“Saya dan pasukan sudah mencapai sasaran utama kami musim ini, jadi keutamaan sekarang ialah pulih sepenuhnya dan kembali dengan 100% kekuatan,” ujarnya.

Dengan dua perlumbaan besar bakal berlangsung di Phillip Island (Australia) dan Sepang (Malaysia), ketiadaan juara dunia lapan kali itu pasti dirasai oleh peminat serta pasukannya. Namun, keputusan menjalani pembedahan dilihat sebagai langkah terbaik untuk memastikan Marquez kembali di puncak prestasi menjelang penghujung musim.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related