Pusingan kelapan MotoGP2025 di Aragon baru sahaja bermula, namun khabar angin mengenai musim 2026 sudah pun hangat diperkatakan dengan nama juara dunia dua kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu, kini dikaitkan bakal membuat kemunculan sensasi dalam kejuaraan MotoGP tahun hadapan.
Pelumba Turki berusia 28 tahun itu meraih gelaran WorldSBK pertama bersama Yamaha pada 2021 sebelum mencipta sejarah bersama BMW pada 2024, menjadikannya pelumba pertama memberikan gelaran dunia kepada pengeluar Jerman itu dalam kejohanan WorldSBK.
Peralihan ke MotoGP bukan sesuatu yang asing buat Toprak, malah dia telah lama disebut-sebut sebagai calon untuk menyertai kelas premier ini.
Pengarah pasukan Prima Pramac Yamaha MotoGP, Gino Borsoi, mengesahkan bahawa terdapat perbincangan awal dengan pelumba WorldSBK itu semasa ditemui di pitlane Grand Prix Aragon baru-baru ini.
“Gossip tetap gossip Tetapi, ya, Yamaha telah pun mengadakan beberapa perbualan dengan Toprak. Kami sedang membincangkan mengenai musim hadapan, namun dalam masa yang sama kami perlu mempertimbangkan barisan pelumba sedia ada yang telah menunjukkan potensi besar. Buat masa ini, tiada keputusan muktamad,” jelas Borsoi.
“Semuanya bergantung kepada perjanjian. Kami mempunyai dua jenis kontrak berbeza dengan pelumba kami sekarang. Kami perlu berbincang dengan pengurus masing-masing dan menilai keadaan sebelum musim panas untuk buat keputusan. Setakat ini, tiada kontrak yang ditandatangani dengan Toprak, cuma perbincangan awal sahaja,” Menjawab lanjut mengenai kemungkinan pertukaran tersebut.
Toprak bukan lagi asing dengan jentera MotoGP apabila pernah menguji motosikal Yamaha pada sesi ujian di Jerez pada 2023. Walaupun tidak terus menyertai MotoGP ketika itu, beliau meneruskan karier dalam WorldSBK dan menamatkan musim 2023 sebagai naib juara sebelum menyertai BMW dan memenangi kejuaraan dengan dominasi mengagumkan termasuk 13 kemenangan berturut-turut.
Sekiranya berpindah ke MotoGP, ia bakal menjadi cabaran baharu buat pelumba digelar ‘El Turco’ itu. Namun begitu, suasana MotoGP bukanlah asing buatnya kerana beliau pernah bertanding dalam Red Bull Rookies Cup sebelum ini, manakala pengurusnya, Kenan Sofuoglu, juga pernah meraih podium dalam Moto2 pada 2011 dan dikenali sebagai legenda World Supersport dengan lima gelaran dunia.
Baca juga :


