MotoGP, Two Circles jalin kerjasama jangka panjang

MotoGP telah mengumumkan satu kerjasama strategik jangka panjang bersama agensi pemasaran sukan dan pembangunan peminat terkemuka dunia, Two Circles.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelaburan besar dalam mengembangkan pangkalan peminat global, terutamanya di pasaran Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Two Circles dilaporkan akan bekerja rapat dalam ekosistem digital MotoGP secara menyeluruh bagi merangka semula strategi kandungan media sosial dari peringkat idea, kreativiti, hinggalah ke pelaporan dan analisis dengan fokus utama untuk meningkatkan pertumbuhan peminat di pasaran utama.

Usaha ini akan menjadi sebahagian daripada pendekatan media sosial global yang baharu dan menyeluruh, yang bertujuan memupuk hubungan yang lebih mendalam antara MotoGP dan para peminat.

“Ini bukan sekadar meningkatkan jumlah kandungan, tetapi tentang mencapai pertumbuhan yang bermakna dan boleh diukur,” kata Kelly Brittain, Pengarah Urusan Pemasaran Global MotoGP dalam satu kenyataan.

“Kami tahu sejak sekian lama bahawa pasaran seperti AS dan UK mempunyai potensi yang besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Penyelidikan oleh Two Circles telah mengukuhkan lagi perkara ini. Kami perlukan rakan yang betul untuk bantu kami bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kandungan tetapi kandungan yang tepat,” ungkapnya lagi.

Two Circles merupakan organisasi sukan dan hiburan terkemuka dunia dalam meningkatkan jumlah dan nilai hubungan peminat dengan mengurus berbilion interaksi data peminat untuk lebih 950 pelanggan di seluruh dunia.

Beroperasi dari 13 pejabat antarabangsa termasuk di London, Los Angeles, New York, Paris dan Melbourne, Two Circles mengkhusus dalam pertumbuhan hasil melalui hak media, penajaan, runcit dan pelesenan serta penjualan tiket.

Antara pelanggan utama Two Circles termasuk NFL, Premier League, Wimbledon, World Rugby, EA SPORTS dan UEFA.

Kerjasama ini menandakan fasa seterusnya dalam strategi pertumbuhan peminat MotoGP, sekaligus mengukuhkan komitmen sukan ini dalam membina pengikut global yang lebih luas dan aktif. Ia turut menyusuli kajian pasaran tersuai yang telah dijalankan sebelum ini oleh Two Circles untuk MotoGP.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related