Juara Dunia MotoGP 2024, Jorge Martin akhirnya tampil bersuara mengenai situasinya bersama pasukan Aprilia susulan pelbagai spekulasi yang melibatkan perjanjian kontraknya.
Dalam satu kenyataan panjang lebar yang dimuat naik ke media sosial, pelumba Sepanyol bernombor #1 itu berkongsikan “ceritanya” yang selama ini menjadi tanda tanya di kalangan peminat dan pihak media.
Martin memulakan kenyataannya dengan menegaskan bahawa beliau tidak pernah melanggar sebarang kontrak bersama Aprilia. Menurutnya, ketika menandatangani perjanjian tersebut, mereka telah bersetuju bahawa sekiranya beberapa syarat tertentu tidak dipenuhi, beliau mempunyai hak untuk menilai semula dan menentukan masa depannya untuk musim 2026.
“Ini adalah syarat penting yang meyakinkan saya untuk menerima tawaran kontrak dari Aprilia ketika itu,” jelas Martin.
Martin turut menjelaskan bahawa antara sebab utama beliau bersetuju menyertai Aprilia adalah kerana peluang untuk mencuba jentera dalam keadaan perlumbaan sebenar serta memahami struktur kerja pasukan. Ia bagi memastikan beliau berasa yakin untuk menandatangani kontrak selama dua tahun, bukan hanya setahun.
Walaupun kecederaan serius yang dialaminya baru-baru ini tidak secara langsung menjejaskan kandungan perjanjian, Martin mengakui ia sedikit sebanyak mempengaruhi proses penilaian terhadap pasukan dan prestasi keseluruhan.
Namun begitu, beliau berkata sentiasa terbuka untuk berbincang bersama Aprilia dan telah mencadangkan supaya tempoh penilaian dilanjutkan kepada beberapa perlumbaan selepas beliau kembali ke saingan sebagai langkah memberi peluang kedua kepada kedua-dua pihak.
Dalam nada yang tenang dan profesional, Martin sekali lagi menegaskan tiada sebarang konflik atau salah faham besar antara beliau dan Aprilia. Sebaliknya, beliau hanya mahu haknya sebagai atlet profesional dihormati serta perjanjian asal yang telah dipersetujui diberi perhatian sewajarnya.
“Saya sentiasa jujur dengan Aprilia. Saya menghargai motosikal, pasukan dan semua usaha orang-orang yang terlibat dalam projek ini,” katanya.
Martin mengakhiri kenyataan dengan menyatakan bahawa tumpuannya kini adalah untuk terus pulih dan memberikan yang terbaik, sama ada di litar mahupun di luar litar. Beliau berharap agar semua pihak memahami keputusannya yang dibuat demi masa depan kariernya.


