10 fakta menarik mengenai Marco Bezzecchi

Grand Prix 2025 menyaksikan pelbagai detik menarik, namun tiada yang lebih mencuri tumpuan berbanding GP Argentina apabila Marco Bezzecchi melakar sejarah manis dengan kemenangan sulungnya dalam kelas perdana MotoGP.

Kemenangan berprestij itu bukan sahaja menandakan kejayaan peribadinya, malah menjadi kejayaan pertama buat pasukan Mooney VR46 Racing Team dalam arena MotoGP. Jom kenali dengan lebih dekat pelumba Itali yang bukan saja berbakat besar, malah merupakan seorang pelumba yang mempunyai sisi yang menarik yang tidak diketahui di luar litar.

1. Idolanya

Seperti ramai pelumba muda lain, Bezzecchi membesar mengagumi kehebatan pelumba lagenda MotoGP, Valentino Rossi. Beliau pernah menjadi pencetus inspirasinya untuk mengejar impian sebagai seorang pelumba. Namun bezanya, Bezzecchi bukan sekadar peminat Rossi, malah kini berada di bawah bimbingan idolanya sendiri melalui Akademi VR46 dan turut berlumba untuk pasukan yang diasaskan Rossi. Lebih istimewa, Bezzecchi pernah menyuarakan hasrat agar Rossi lebih terlibat dalam operasi pasukan sebagai satu penghormatan buat idola yang kini juga mentornya.

2. Cita- cita berlumba di Laguna Seca

Antara impian Bezzecchi adalah untuk berlumba di litar Laguna Seca, Amerika Syarikat. Litar ikonik yang pernah menjadi medan pertempuran epik antara Rossi dan Casey Stoner pada tahun 2008. Jika diberi peluang, dia mahu merasai sendiri cabaran laluan lagenda “Corkscrew” yang sering menjadi igauan setiap pelumba.

3. Minat Sukan Ekstrem: Papan luncur dan papan salji

Di luar litar, Bezzecchi sangat aktif dengan Papan luncur (skateboard) dan Papan salji (snowboard), dua sukan ekstrem yang menjadi kegemarannya sejak kecil. Malah, dia menjadikan jaguh Olimpik, Shaun White, sebagai idolanya dalam arena sukan ekstrem dan menyimpan impian untuk menjemputnya ke paddock suatu hari nanti.

4. Makan malam impian

Andai diberi peluang, Bezzecchi mahu menikmati makan malam bersama tiga tokoh kegemarannya: Shaun White, Valentino Rossi, dan Jason Anderson juara AMA Motocross. Gabungan idola, mentor dan wira perlumbaan, yang dijangka bakal menjadikan temu janji makan malam tersebut sebagai satu detik yang bermakna sepanjang hidupnya.

5. Nombor kegemaran & tatu unik

Bezzecchi berlumba dengan nombor 72 di atas jentera Desmosedici miliknya, namun nombor yang paling dekat di hatinya ialah 12, nombor yang digunakannya ketika zaman Moto3. Oleh kerana nombor itu kini dimiliki oleh Maverick Viñales, Bezzecchi mengabadikannya dengan cara istimewa dengan menatu nombor 12 di dua jari: satu di jari manis tangan kanan dan satu lagi di jari kiri sebagai ‘cincin perkahwinan’.

6. Waktu rehat bersama Rubik

Bagi Bezzecchi, cara terbaik untuk menenangkan fikiran selepas perlumbaan adalah dengan meluangkan masa bersama anjing kesayangannya, seekor pitbull bernama Rubik. Menurut juara GP Argentina itu, saat berjalan dan meluangkan masa bersamanya merupakan antara masa yang paling tenang dan damai buat pelumba ini.

7. Bahasa, Budaya & Selera Jepun

Fasih dalam bahasa Itali dan Inggeris, Bezzecchi kini menyimpan hasrat untuk mempelajari bahasa Jepun. Dia amat tertarik dengan budaya Jepun, terutama dari segi pemakanan mereka. Namun begitu, dia tetap berjiwa Itali sejati dengan pilihan makanan kegemarannya: pasta Ragu klasik, ditemani gin & tonic.

8. Jiwa Muzikal: Bob Marley

Dalam hal muzik, Bezzecchi meminati hip hop dan rock, namun penyanyi kegemarannya adalah legenda reggae, Bob Marley. Lagu yang paling menyentuh jiwanya? Redemption Song yang menekankan simbol kebebasan dan kekuatan diri.

9. Nasihat yang dipegang

Nasihat terbaik yang dipegang Bezzecchi dalam dunia perlumbaan sehingga kini adalah:

“Slow is smooth, and smooth is fast.”
Yang bermaksud dalam sukan sepantas MotoGP, kelicinan dan ketenangan mengawal jentera adalah kunci kejayaan yang sebenar dan bukan hanya bergantung ke atas kelajuan semata-mata.

10. Janji gila sekiranya bergelar Juara Dunia

Jika suatu hari nanti Bezzecchi berjaya merangkul gelaran Juara Dunia MotoGP, dia telah membuat perjanjian dengan akan melakukan pusingan kehormatan hanya dengan memakai seluar dalam! Meskipun perjanjian tersebut merupakan antara janji yang tidak masuk akal, rata-rata peminat dan penonton menantikan momen bersejarah itu.

Marco Bezzecchi bukan sekadar pelumba berbakat, tetapi juga personaliti yang menceriakan dunia MotoGP. Dengan gaya santai, jiwa besar dan semangat luar biasa, tak mustahil anak muda ini bakal terus mencorakkan sejarah baharu dalam sukan permotoran dunia.

Baca juga :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related