Juara Dunia 2024 MotoGP, Jorge Martin terpaksa menerima nasib kurang baik apabila dijangka tidak akan membuat debut pertamanya bersama Aprilia RS-GP sehingga sekurang-kurangnya pusingan ketiga musim ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola semalam ketika majlis pembukaan musim 2025.
Rivola turut menyuarakan rasa kecewa terhadap nasib malang yang menimpa Martin selepas mengalami kecederaan serius melibatkan kedua-dua tangan dan kaki kiri dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
“Jujur saya katakan, saya rasa sangat teruk. Tetapi mulai hari ini, kami perlu terus maju dengan apa yang kami ada. Saya berharap dapat melihat Marco Bezzecchi meneruskan prestasi cemerlangnya selepas ujian pramusim, dan juga Lorenzo Savadori membantu dalam pembangunan jentera.”
Selain terlepas pusingan pertama di Buriram, Martin turut disahkan tidak akan beraksi dalam Grand Prix Argentina pada 14-16 Mac. Beliau turut menyatakan enggan mengambil risiko dan hanya akan membenarkan Martin kembali ke litar apabila dia pulih sepenuhnya dan dalam keadaan bersedia.
“Dia pasti tidak akan berlumba di Argentina.Keadaan tangan kirinya masih belum pulih sepenuhnya. Menurut Dr. Mir, pembedahan yang dilakukan berjalan dengan baik, jadi kami tetap positif. Tetapi pada masa ini, kami belum boleh tetapkan bila dia akan kembali.
“Dia hanya akan kembali apabila dia benar-benar cergas. Kami tidak mahu mempertaruhkan keadaannya sama sekali. Jadi saya lebih suka melihat projek jangka panjang Aprilia bersama dua pelumba baharu ini, berbanding sekadar fokus pada hasil jangka pendek,” tambahnya lagi.
Jorge Martin mencipta sejarah sebagai pelumba bebas pertama yang memenangi kejuaraan MotoGP dalam era moden bersama Pramac Ducati. Dia kemudian menjadi pelumba pertama selepas Valentino Rossi yang menukar pasukan sebagai juara bertahan apabila menyertai Aprilia untuk musim 2025.
Namun, selepas hanya satu hari menguji RS-GP di Barcelona pada November, musim 2025 bermula dengan penuh mimpi ngeri bagi Martin. Dia mengalami dua insiden ‘highside’ dalam hanya 13 pusingan ketika ujian pramusim di Sepang, menyebabkan tulang metacarpal di tangan kanan dan beberapa metatarsal di kaki kiri patah.
Pembedahan diperlukan bagi kecederaan tangan, menyebabkan Martin terlepas ujian pramusim terakhir. Namun, dia tetap dijangka kembali untuk Grand Prix Thailand sehinggalah satu lagi insiden malang berlaku.
Dalam sesi latihan Supermoto awal minggu ini, Martin sekali lagi terjatuh dan mengalami patah kompleks tulang radius di tangan kiri serta beberapa kecederaan lain. Dia menjalani pembedahan dengan dua skru dimasukkan bagi menstabilkan tulang radius dan satu lagi skru dipasang pada tulang scaphoid, yang memerlukan tempoh penyembuhan yang lama.
Baca juga:


