Musim MotoGP 2025 bakal membuka tirainya dengan penuh gah apabila Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand menjadi tuan rumah bagi perlumbaan pembuka musim.
Detik bersejarah ini bukan sahaja mengangkat nama Thailand sebagai lokasi ikonik dalam kalendar MotoGP, malah turut memberi peluang kepada negara yang kaya dengan budaya dan keunikan gastronomi Asia ini untuk menyaksikan perlumbaan kelas dunia secara langsung.
Dengan debaran semakin memuncak, berikut adalah jadual penuh aksi pembukaan yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan pemotoran dari seluruh dunia.
Khamis, 27 Februari: Foto Kumpulan & GearUp Show
Acara rasmi pertama bermula dengan sesi fotografi kumpulan bagi kelas Moto3, Moto2, dan MotoGP pada 13:30 petang hingga 13:50 petang waktu Thailand. Para pelumba akan berkumpul di grid untuk sesi tradisi yang turut menandakan permulaan musim baharu.
Seterusnya, MotoGP GearUp Show akan berlangsung pada sekitar 5:45 petang waktu tempatan (UTC +7), membawakan analisis mendalam dan ulasan pakar bagi menghangatkan suasana sebelum aksi sebenar bermula.
Kemuncaknya, sidang media khas akan diadakan pada pukul 6 petang, turut menampilkan tiga pelumba terkemuka, Jorge Martin (Aprilia Racing), Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team), dan Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) dalam mengkongsikan strategi dan harapan menjelang perlumbaan pembuka musim ini.
Jumaat dan Sabtu: Sesi Latihan Bebas dan Kelayakan
Aksi di litar bermula pada Jumaat, 28 Februari, dengan sesi Latihan Bebas bagi semua kelas, diikuti oleh sesi Practice yang akan menentukan pelumba terbaik untuk terus layak ke Q2.

Pada Sabtu, 1 Mac, sesi Kelayakan akan menentukan barisan petak perlumbaan sebelum perlumbaan pertama musim ini, Tissot Sprint, yang bakal berlangsung pada pukul 3 petang (UTC +7)
Ahad, 2 Mac: Aksi Perlumbaan Pembukaan Grand Prix
Hari yang paling dinanti-nantikan oleh peminat MotoGP, Perlumbaan Grand Prix bagi kategori Moto3, Moto2, dan MotoGP akan berlangsung sepanjang hari, menjanjikan aksi sengit dan perlumbaan yang mendebarkan.
Musim ini dijangka menjadi antara yang paling epik dalam sejarah MotoGP, dengan persaingan yang lebih sengit dan jentera yang lebih pantas. Beberapa nama besar sudah diramal bakal mengegarkan Litar Antarabangsa Chang sebaik sahaja tirai perlumbaan dibuka bermula 28 Februari hingga 3 Mac ini.


