Enea Bastianini akui tidak tenang sepanjang tempoh berehat

Pelumba MotoGP Enea Bastianini mengakui bahawa musim sejuk tahun ini merupakan tempoh yang mencabar baginya. Ketidaktentuan masa depan projek MotoGP KTM menambahkan tekanan, tetapi Bastianini tetap optimis apabila keadaan kini semakin stabil.

Bastianini, pemenang tujuh perlumbaan MotoGP, menandatangani kontrak dengan KTM pada tahun lalu untuk menyertai pasukan Tech3 dalam perjanjian jentera kilang mulai 2025. Namun, krisis kewangan yang melanda KTM mencetuskan spekulasi mengenai masa depan projek perlumbaan syarikat dari Austria itu.

Memetik laporan dari Crash.Net, laporan daripada sesi pendengaran pemiutang sebelum Krismas lalu mendedahkan bahawa KTM merancang untuk keluar dari MotoGP sebagai langkah penjimatan kos. Walaupun KTM telah mengesahkan komitmen mereka untuk musim 2025, masa depan selepas itu masih dalam keadaan samar.

Dalam satu tembual bersama Sky Sports Italy, Bastianini memberikan pandangan mengenai situasi terkini pasukannya.

“Musim sejuk ini sangat mencabar, tetapi saya terus berlatih dan cuba menjaga fikiran saya dan tetap memberikan fokus penuh.

“Saya berusaha melakukan yang terbaik setiap hari untuk memastikan saya bersedia untuk kejohanan. Kini, keadaan nampaknya semakin stabil, jadi saya berasa agak tenang. Tetapi saya tetap memberikan 100%, dan saya tidak akan biarkan diri saya dalam keadaan tidak bersedia,” katanya.

Bastianini mengakui sukar untuk meletakkan sasaran yang realistik pada masa ini, memandangkan beliau baru saja melengkapkan satu sesi ujian dengan KTM pada November lalu.

“Saya hanya melengkapkan 50 pusingan dengan jentera KTM, jadi sukar untuk menetapkan sasaran buat masa ini. Saya fikir motosikal ini mempunyai potensi, tetapi saya mungkin tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya dari perlumbaan pertama. Namun, saya pasti kami akan mencapainya secara beransur-ansur, perlumbaan demi perlumbaan,” tambahnya lagi.

Selain persediaan musim 2025, Bastianini turut mengambil bahagian dalam acara 100Km of Champions anjuran Valentino Rossi di Tavullia minggu lalu. Berpasangan dengan Matteo Casadei, mereka menamatkan perlumbaan di tempat ke-15. Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pasangan Diogo Moreira dan Thomas Chareyre.

Dalam perkembangan lain, Bastianini mengumumkan perpisahan dengan pengurus lamanya, Carlo Pernat, dan telah menandatangani perjanjian baharu dengan agensi MSM yang berpangkalan di London.

Pernat, dalam wawancara bersama GPOne, menjelaskan bahawa keputusan untuk berpisah dibuat atas faktor kesihatannya yang tidak lagi membolehkan beliau untuk meneruskan karier dalam bidang perlumbaan.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Enea Bastianini kekal optimis terhadap musim MotoGP 2025, dengan harapan untuk menunjukkan aksi terbaik bersama KTM pada aksi pembukaan yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand tidak lama lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related