Aprilia Racing yang bakal memulakan kempen MotoGP 2025 bersama Juara Dunia musim lalu, Jorge Martin melancarkan barisan pelumba dan jentera RS-GP nya bersama azam baru mereka di Milan pada Rabu lalu.
Dengan pengumuman dan pelancaran itu Direktor Teknikal Aprilia Racing, Fabiano Sterlacchini menyatakan beliau mensasarkan keputusan yang cemerlang dengan kelibat dua pelumba berbakat mereka di dalam pasukan.
“Ia merupakan satu penghormatan besar untuk memulakan musim baharu bersama Aprilia Racing. Kami bertekad untuk menampilkan aksi cemerlang dan kompetitif sepanjang musim ini, sama ada dalam acara Sprint mahupun Perlumbaan utama, demi mencapai keputusan terbaik.
“Dengan dua pelumba berbakat yang kami miliki, kami akan terus berusaha memperbaiki prestasi dan membuktikan kemampuan kami dalam era baharu ini. Perubahan signifikan dari segi teknikal dan barisan pelumba selepas beberapa tahun lalu memberikan kami kelebihan untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
“Kami sangat bermotivasi untuk menghadapi musim ini, dan saya berasa amat gembira serta bangga mempunyai dua pelumba hebat seperti Jorge Martin dan Marco Bezzecchi dalam pasukan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif (CEO) Aprilia, Massimo Rivola turut melaungkan kezamannya dengan mengungkapkan kombinasi pada musim ini akan mencipta satu kejutan.
“Musim 2025 ini menandakan permulaan era baharu bagi Aprilia, di mana kami bercita-cita tinggi untuk muncul sebagai protagonis, bukan sekadar menjadi pencabar. Matlamat kami jelas iaitu dengan memberikan saingan sengit dalam setiap perlumbaan dan mencipta sejarah baharu.
“Dengan kombinasi pelumba-pelumba berbakat, pasukan yang berdedikasi, dan persekitaran kerja yang positif, kami yakin keupayaan kami untuk mencapai kejayaan. Jentera RS-GP25 kami memiliki potensi luar biasa, dan tugas kami adalah untuk memaksimumkan kehebatannya dalam 22 perlumbaan sepanjang musim ini,” katanya ketika dalam pelancaran tersebut.

Terdahulu, Aprilia Racing telah memulakan era 2025 dengan memperkenalkan Juara Dunia 2024, Jorge Martin, bersama pelumba baharu pasukan kilang Noale, Marco Bezzecchi. Pelancaran ini menampilkan livery ikonik mereka sambil menjawab persoalan mengenai penggunaan nombor plat #1 yang akan menghiasi jentera Martin.
Aprilia RS-GP25 merupakan evolusi penting dalam projek MotoGP Aprilia Racing. Setiap perinciannya telah direka semula untuk memastikan keupayaan bersaing pada tahap tertinggi, sekaligus mengukuhkan kedudukan Aprilia Racing sebagai salah satu pasukan utama dalam MotoGP. Peningkatan dilakukan di semua aspek, termasuk aerodinamik yang lebih halus, casis, elektronik, dan enjin V4 yang telah melalui pelbagai proses pembangunan menyeluruh.
Pasukan teknikal Noale, kini diketuai oleh Fabiano Sterlacchini, kekal setia pada DNA inovatif mereka, menghasilkan jentera yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Pelumba ujian Lorenzo Savadori juga kekal bersama dalam projek Noale ini, dengan sokongan signifikan daripada Trackhouse MotoGP Team yang dianggotai Raul Fernandez dan pendatang baharu, Ai Ogura. Kedua-dua mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan berterusan jentera RS-GP, bukan sekadar menjadi Pasukan Bebas tetapi juga pesaing dengan jentera yang sama hebatnya.
Dengan gabungan Martin, Bezzecchi, Fernandez, dan Ogura, Aprilia akan menampilkan empat jentera RS-GP spesifikasi 2025 bermula dari perlumbaan pertama musim ini, mencerminkan semangat tinggi mereka untuk terus mendominasi perlumbaan.


