Dapat pamerkan peningkatan itu adalah harapan yang diletakkan pasukan Repsol Honda selepas kedua-dua pelumba, Luca Marini sekadar menempatkan diri di tempat ke-17 dan Joan Mir di kedudukan ke-19 dalam sesi latihan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, semalam.
Sesi latihan yang berlangsung di Buriram itu menyaksikan para pelumba dipisahkan oleh satu saat sepanjang 4.55 kilometer meskipun dalam cuaca yang begitu panas.
Dengan pelbagai eksperimen yang dilakukan oleh pasukannya, pelumba dari Itali, Marini berhasrat segala usaha yang dilakukan dapat membantunya untuk mencatatkan masa yang lebih pantas selepas mengakhiri sesi latihan dengan catatan masa terbaik 1’30.138, hanya 0.973s daripada P1.
“Persaingan rapat di MotoGP selalu mengejutkan saya, mencatatkan masa yang baik dalam setiap pusingan adalah sangat penting, sekecil mana pun masa yang dicatatkan, ia boleh mengubah kedudukan anda dengan ketara.
“Saya belum berjaya mencatatkan lap yang sangat baik hari ini, jadi kami masih ada ruang untuk memperbaiki esok. Saya juga perlu bekerja lebih keras dalam gaya tunggangan saya untuk menunjukkan peningkatan seiring dengan perkembangan motosikal. Saya menantikan untuk memberikan yang lebih baik esok.
Hari yang produktif buat pelumba Itali ini kerana dia dan pasukannya banyak bereksperimen dengan pelbagai tetapan baharu pada motosikal untuk memperdalam pemahaman mereka dan bersiap sedia untuk tahun hadapan.

Manakala aksi sebelah petang, Joan Mir menamatkan sesi latihan di tempat ke-19 selepas mencatat masa terbaik 1’30.217 dengan peningkatan masa sebanyak 1.2 saat dari pagi hingga ke petang. Melihat kearah kelajuan kedua-dua pelumba LCR Honda itu, Mir mengungkapkan keyakinannya dengan menyatakan peningkatan prestasi bakal dipamerkan dalam sesi Kelayakan yang akan berlangsung pada hari ini.
“Malam ini, kami perlu bekerja dengan lebih keras bagi menyamakan keputusan yang dicapai oleh Taka dan Zarco. Hari ini agak sukar bagi saya kerana motosikal masih mempunyai sedikit getaran yang membuatkan saya tidak dapat menunjukkan potensi saya yang sebenar.
“Kami perlu mempelajari apa yang dilakukan pelumba lain dan mengapa saya masih mengalami banyak kesukaran berbanding yang lain dan saya percaya, apabila anda memberikan 100 peratus, tiada penyesalan yang akan dirasai, dan saya sentiasa memberikan 100 peratus dalam perlumbaan,” katanya selepas sesi latihan.


