Kuala Lumpur, 29 Ogos 2024 – Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) telah mengambil langkah penting ke arah meningkatkan keselamatan dan profesionalisme dalam sukan permotoran tempatan dengan mengeluarkan garis panduan komprehensif untuk acara perlumbaan drag dan motocross.
Garis panduan ini meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi kedua-dua sukan permotoran ini yang telah diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terkawal bagi setiap disiplin sukan permotoran yang cukup popular ini.
Mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), Seksyen 34 Akta 576 yang memperuntukkan sesuatu badan sukan hendaklah memastikan bahawa semua pertandingan dan acara sukan yang dibenarkan, dijalankan atau disertai olehnya serta pertandingan dan acara sukan yang diadakan di bawah naungannya, adalah mengikut kaedah dan garis panduan yang diiktiraf oleh semua badan sukan pengelola dan pengawalseliaan bagi sukannya dalam semua perkara, termasuk standard dan kelayakan semua peserta dan pegawai serta langkah kesihatan dan keselamatan bagi peserta, pegawai dan penonton dipertandingan atau acara itu.
MAM dengan kerjasama pihak Jabatan Belia dan Sukan Negara telah mengadakan Bengkel Pemurnian Modul Disiplin Sukan Drag dan Motocross yang bertujuan bagi menyelaraskan manual atau garis panduan pelaksanaan modul disiplin sukan drag dan motocross asas dalam memastikan pelaksanaan program mematuhi garis panduan sesuatu sukan yang dijalankan.
Sukan Drag merupakan sejenis sukan permotoran di mana jentera 4 roda dan 2 roda yang terbahagi kepada dua definasi berbeza iaitu dari segi ujian kepantasan masa dengan catatan berseorangan atau dua jentera dilepaskan dalam satu masa. Perlumbaan ini dilangsungkan dalam suatu litar yang pendek dan lurus dari kedudukan mula, mengikut jarak 201 meter atau 402 meter.
Manakala sukan Motocross pula sukan popular yang dianjurkan di litar “off-road” dalam sukan 2 roda. Sukan ini menguji kemahiran, kelajuan dan ketangkasan pelumba. Sukan ini melibatkan kategori profesional dan amatur, dan acara diadakan di seluruh dunia untuk pelumba dari semua peringkat.

“MAM ingin berterima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan kerana melalui kolaborasi ini dua garis panduan telah berjaya dikeluarkan dan satu initiatif penting untuk pembangunan sukan permotoran Malaysia,” kata Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
“Dengan perlaksanaan garis panduan ini, MAM sentiasa peka dan meletakkan garis panduan ini keutamaan bagi setiap penganjuran perlumbaan terutamanya drag dan motocross. Tumpuan kepada keselamatan dan profesionalisme akan memupuk komuniti sukan permotoran yang lebih mampan dan inklusif yang boleh berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang.” tambah Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memastikan sukan permotoran adalah selamat untuk remaja. Garis panduan yang telah diperkenalkan hari ini bukanlah untuk menambahkan birokrasi atau menghentikan aktiviti tetapi untuk memastikan keselamatan dan membantu industri sukan permotoran untuk mendapat akses yang lebih besar kepada geran KBS pada tahun 2025 nanti.
Garis panduan itu akan tersedia untuk dimuat turun di laman web MAM (www.mam.org.my) dan saluran media sosial. Selain itu, ia juga boleh diakses di laman web Kementerian Belia dan Sukan.
Langkah ini dibuat selepas MAM mengumumkan untuk membangunkan rangka kerja dalam memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran acara yang dibenarkan. Pelaksanaan garis panduan ini dijangka dapat memupuk suasana sukan permotoran yang lebih teratur dan selamat di Malaysia dan dapat mengurangkan risiko kemalangan seterusnya meningkatkan pelaksanaan aktiviti sukan bermotor yang terkawal dan selamat.


