5 pertembungan epik antara Marquez dan Bagnaia

Musim MotoGP 2025 bakal menjadi salah satu musim paling epik dalam sejarah sukan ini, dengan tumpuan tertumpu kepada persaingan sengit antara dua bintang utama, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez.

Dengan kedua-duanya kini berada dalam pasukan yang sama, Ducati Lenovo Team. Mereka yang turut berkongsi matlamat yang sama dalam menjulang kejuaraan dunia untuk musim ini, pertembungan antara mereka dijangka menjadi lebih sengit berbanding sebelum ini.

Menjelang musim baharu ini, MotoGP telah mengeluarkan lima pertembungan epik antara kedua-dua juara ini, yang membentuk persaingan yang bakal menjadi antara yang paling hebat dalam sejarah MotoGP.

1) Buriram 2024

Tidak ada tempat yang lebih baik untuk membuka tirai 2025 selain di Litar Antarabangsa Chang, tempat di mana sejarah antara Bagnaia dan Marquez mula terukir. Dalam perlumbaan litar basah di Buriram, Bagnaia yang berada di hadapan tidak terlepas daripada tekanan yang diberikan oleh Marquez apabila beliau mencuba memberikan serangan pada selekoh terakhir di pusingan ke-9.

Namun, seperti biasa, Pecco yang terkenal dengan sifat tidak mudah mengalah, segera membalas serangan tersebut yang turut menjadikan aksi ketika hujan itu sebagai satu memori yang terpahat dalam kalangan peminat permotoran serata dunia.

Saingan itu tidak terhenti disitu apabila mereka kembali bertukar posisi di selekoh 12 pada pusingan ke-13, memberikan aksi yang mengujakan. Namun, perlumbaan dramatik ini berakhir lebih awal apabila Marquez terjatuh di Selekoh 8, menangguhkan pertarungan mereka ke musim berikutnya.

2) Le Mans 2024

Kembali dengan sikap kompetitif bersama Gresini Ducati, Marquez menjadi antara pelumba utama mereka sejak awal musim 2024. Di Le Mans, perlumbaan tersebut menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Jorge Martin, Bagnaia, dan Marquez.

Pada pusingan terakhir, Bagnaia yang gagal menewaskan Martin untuk kedudukan pertama, terpaksa berdepan dengan serangan yang dikenakan Marquez pada selekoh ke-7. Marquez mengambil kesempatan untuk memintas dengan mengorbankan peluang Bagnaia untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Walaupun tidak membawa kemenangan kepada Marquez, aksi ini membuktikan bahawa pelumba berasal dari Sepanyol itu merupakan ancaman utama dalam barisan hadapan.

3) Aragon 2021

Persaingan mereka bukan hanya bermula pada tahun 2024, malah ianya telah terjalin sejak berabad termasuk pertembungan mereka di Aragon 2021. Bagnaia ketika itu berjaya meraih kemenangan MotoGP pertamanya selepas mempertahankan tujuh serangan berturut-turut daripada Marquez dalam tempoh tiga pusingan terakhir.

Marquez yang dikenali sebagai ‘Raja Aragon’ pada ketika itu, gagal menandingi ketahanan dan kecekalan Bagnaia. Kemenangan ini menjadi detik penting dalam karier Pecco, menandakan permulaan baharu kepada persaingan sengit mereka di masa akan datang.

Kredit : Ducati

4) Portimao 2024

Hanya di pusingan kedua musim 2024, Marquez sudah mencetuskan kontroversi dalam era barunya bersama Ducati. Dalam pertempuran sengit dengan Bagnaia untuk tempat kelompok lima terbaik, Marquez cuba melakukan serangan lewat di selekoh ke-5, tetapi gagal mengawal jenteranya dan tersasar jauh.

Bagnaia segera mengambil kesempatan untuk memintas kembali, tetapi keputusan menunjukkan kedua-duanya bertembung antara satu sama lain di garisan perlumbaan. Insiden ini mencetuskan ketegangan antara mereka di dalam dan di luar litar, dengan masing-masing tidak bersetuju dengan keputusan perlumbaan yang menganggapnya sebagai ‘insiden perlumbaan’.

5) Jerez 2024

Hanya beberapa minggu selepas pertembungan di Portimao, mereka kembali berentap di Jerez dalam salah satu perlumbaan terbaik musim 2024. Bagnaia yang mendahului perlumbaan mendapat tentangan sengit daripada Marquez yang semakin menghampiri kedudukannya.

Pada pusingan terakhir, Marquez cuba memberikan serangan di selekoh 8, tetapi Bagnaia dengan tenang membalas di selekoh 9, mengakibatkan kedua-duanya bersentuhan antara satu-sama lain. Marquez kemudian mencuba untuk memintas dari luar di Selekoh 10, namun akhirnya terpaksa mengundurkan diri.

Marquez terus mencuba strategi yang sama pada pusingan berikutnya, tetapi Bagnaia sekali lagi mengekalkan kedudukannya dan terus memecut untuk memastikan kemenangan. Dengan prestasi luar biasa, Pecco menafikan kemenangan pertama Marquez bersama Ducati di tanah airnya sendiri.

Kredit : Ducati

Dengan persaingan yang semakin memuncak, musim 2025 bakal dijangka menjadi penentu kepada legasi persaingan sihat antara dua jaguh ini. Marquez yang memburu gelaran ketujuhnya dalam kelas perdana, manakala Bagnaia berusaha mempertahankan kejuaraannya dan membuktikan bahawa dia adalah pelumba terbaik Ducati.

Siapakah yang akan keluar sebagai pemenang dalam pertempuran sengit ini? Nantikan aksi pembukaan yang bakal membuka tirainya secara rasmi bermula 28 Februari ini di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC).

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related