Musim MotoGP 2025 bakal menyaksikan tiga pelumba baharu yang berbakat besar bakal mewarnai barisan pelumba-pelumba kelas perdana.
Tiga bakat muda yang mencuri tumpan pada musim lalu dengan bakat dan potensi besar mereka, Ai Ogura, Fermin Aldeguer, dan Somkiat Chantra jelas bersinar di atas litar dengan aksi cemerlang dan kemahiran luar biasa mereka.
Pelumba muda berbakat dari Jepun, Ai Ogura yang memulakan kerjaya selaku pelumba menerusi Kejohanan Talent Cup Asia pada tahun 2015 merupakan antara pelumba dari Jepun yang terkenal dengan kemampuan luar biasanya semenjak tahun 2016 apabila beliau menamatkan musim di tempat kedua kesuluruhan.
Perjalanan kariernya diteruskan apabila beliau menyertai pasukan Red Bull MotoGP Rookies Cup di mana beliau turut membuktikan namanya kekal dipahat dalam sejarah sukan permotoran apabila memperoleh podium pertamanya pada tahun 2017.
Pada 2019, Ogura memulakan debutnya di Moto3 bersama Pasukan Honda Asia, menunjukkan konsistensi dengan meraih beberapa podium. Pada tahun 2020 pula, beliau hampir merangkul gelaran dunia selepas mencatat tujuh podium, namun tidak berjaya selepas sekadar menamatkan musim di tempat ketiga.
Berpindah ke Moto2 pada 2021, pelumba berusia 23 tahun itu terus menyerlah dengan pencapaian podium dan kedudukan kelapan keseluruhan pada musim debutnya. Konsistensi yang dipamerkan membantu beliau meraih kejayaan pada 2024 apabila beliau merangkul trofi Juara Dunia Moto2 sekaligus menjadikan Ogura sebagai graduan pertama dari Asia Talent Cup yang meraih Juara Dunia, serta pelumba Jepun pertama sejak Hiroshi Aoyama pada 2009 untuk merangkul gelaran tersebut.
Seterusnya, Fermin Aldeguer yang sudah berjinak dalam sukan permotoran sejak usianya enam tahun, memenangi kejuaraan mini motosikal di Sepanyol sebelum menyertai European Talent Cup pada 2018. Beliau terus melonjak dengan menguasai perlumbaan Moto2 European Championship, memenangi enam perlumbaan berturut-turut dalam musim debutnya.
Pada 2021, Aldeguer menyertai MotoE sebelum debut sebagai pelumba sepenuh masa di bawah pasukan bersama Speed Up pada 2022 untuk perlumbaan Moto2. Tahun 2023, merupakan kemuncaknya apabila beliau berjaya memenangi empat perlumbaan secara berturut-turut untuk menyamai rekod Toni Elias. Persembahan luar biasa itu menarik perhatian Ducati, untuk menandatanganinya kontrak dua tahun bersamanya. Musim ini, Aldeguer akan berlumba untuk Gresini Racing bersama jentera GP24 Ducati.
Somkiat Chantra pula merupakan pelumba muda dari Thailand yang merekodkan sejarah baru buat negaranya apabila menjadi pelumba pertama yang memenangi perlumbaan Grand Prix, dan akan menyertai MotoGP pada tahun ini. Chantra memulakan kariernya dalam Asia Talent Cup sebelum debut di Moto2 bersama pasukan Idemitsu Honda Asia pada 2019.
Walaupun tahun-tahun awalnya mencabar, Chantra mula menunjukkan potensi sebenar pada 2022 dengan kemenangan di Mandalika dan meraih beberapa podium. Tahun berikutnya, beliau terus menyerlah dengan kemenangan kedua di Grand Prix Jepun. Walaupun musim 2024 kurang menyerlah, LCR Honda mengiktiraf bakat pelumba dari Asia Tenggara itu dan menandatanganinya untuk MotoGP musim ini bagi menggantikan Takaaki Nakagami.
Debut Chantra di MotoGP bakal menjadi detik bersejarah dalam hidupnya, terutamanya perlumbaan pembukaan bakal berlangsung secara rasmi di halaman sendiri bermula 28 Februari ini di Litar Antarabangsa Chang, Buriram sehingga 3 Mac 2025 dengan sokongan padu yang dijangka akan diberikan oleh penyokong tempatan di GP Thailand