‘The Biggest Comeback in History’ – Marc Márquez Takluk Juara Dunia Semula di Jepun

Arena MotoGP menyaksikan satu detik bersejarah di GP Jepun 2025 apabila Marc Márquez menamatkan penantian panjang dengan merangkul gelaran Juara Dunia ke-9 dalam kariernya. Kejayaan ini hadir dengan penuh bergaya apabila dia meninggalkan pencabar terdekat yang juga adiknya, Álex Márquez, dengan jurang besar 201 mata (541).

Lebih manis, ia menjadi detik luar biasa kerana Márquez kembali menjulang trofi selepas lima tahun penuh ranjau, menjadikannya pelumba pertama yang mampu meraih semula kejuaraan dunia selepas lima tahun dan ketika melalui tempoh kegelapan akibat kecederaan serius.


Kali terakhir Márquez dinobatkan juara dunia adalah pada tahun 2019. Namun segalanya berubah pada 2020 apabila dia terlibat dalam kemalangan ngeri di GP Jerez, Sepanyol, yang menyebabkan tulang humerus kanan patah.

Empat kali pembedahan terpaksa dijalani untuk memulihkan kecederaan tersebut, namun proses penyembuhan kerap terganggu. Seolah belum cukup, nasib malang terus menghantui juara Sepanyol itu apabila dia diserang masalah diplopia atau penglihatan berganda selepas terjatuh ketika menunggang enduro pada 2021.

Masalah sama berulang lagi setahun kemudian selepas insiden ‘highside’ di Mandalika, Indonesia. Pada ketika itu, ramai yang meramalkan kariernya sudah hampir berakhir.
Musim 2023 pula menambah derita apabila Márquez mengalami kemalangan di GP Portugal dan terpaksa berdepan keretakan tangan kanan selepas bertembung dengan Miguel Oliveira. Siri kecederaan berulang ini seakan menutup semua ruang untuknya kembali kompetitif, hingga timbul persoalan sama ada dunia MotoGP sudah menyaksikan penghujung era seorang legenda.


Namun, masalah fizikal bukanlah satu-satunya cabaran buat Márquez. Dia turut bergelut dengan Honda Racing Corporation (HRC), apabila jentera RC213V yang semakin sukar untuk difahami membuatkannya terperangkap jauh dari kelompok hadapan. Pada penghujung 2023, Márquez akhirnya membuat keputusan paling berani dalam hidupnya: menamatkan kontrak bersama HRC lebih awal, setahun sebelum tempoh sebenar.

Langkah itu mengejutkan dunia kerana ia menamatkan lebih daripada satu dekad kerjasama dengan pasukan yang membesarkan namanya.


Sebagai gantinya, Márquez memilih untuk menyertai pasukan satelit Gresini Ducati pada musim 2024. Apa yang lebih luar biasa, dia melangkah ke pasukan itu tanpa sebarang gaji. Bagi Márquez, wang bukan lagi motivasi. Satu-satunya matlamatnya hanyalah untuk kembali menang. Keputusan itu dilihat gila oleh sebahagian pihak, namun akhirnya terbukti sebagai taruhan terbaik dalam kariernya, apabila Marc Marquez sangat kompetitif musim ini, bersama pasukan Ducati Lenovo, pasukan factory.


Litar Motegi sendiri bukanlah litar asing bagi Márquez. Litar Twin Ring Motegi pernah menjadi pentas kejayaannya apabila dia menutup kejuaraan dunia di situ sebanyak tiga kali, pada tahun 2014, 2016 dan 2018. Ia adalah litar istimewa yang sering dikaitkan dengan detik kegemilangannya. Kini, tujuh tahun kemudian, Motegi sekali lagi menjadi saksi apabila Márquez menutup perlumbaan dengan kemenangan bergaya dan melengkapkan apa yang digelar ramai sebagai “The Biggest Comeback” dalam sejarah MotoGP, selari dengan gelaran “The Comeback King”.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related