Red Bull KTM mulakan era baharu MotoGP dengan Enjin 850cc pertama

Pasukan Red Bull KTM telah melangkah setapak ke hadapan dalam persiapan menuju era baharu MotoGP apabila berjaya menjalankan ujian pertama bagi enjin prototip 850cc mereka di bangunan utama KTM di Mattighofen, Austria.

Ujian di atas dyno itu memberi bacaan kuasa pertama untuk enjin yang direka sepenuhnya beroperasi menggunakan bahan api bukan fosil, selaras dengan matlamat kelestarian sukan permotoran berprestij itu menjelang musim 2027. Ujian tersebut menandakan permulaan fasa pembangunan baharu bagi KTM sebelum jentera berkenaan diuji di litar dalam masa terdekat.

Mulai tahun 2027, MotoGP akan memperkenalkan generasi jentera yang baharu dengan objektif menjadikan perlumbaan lebih selamat, lestari dan kompetitif. Perubahan besar bakal menyaksikan kapasiti enjin dikurangkan daripada 1000cc kepada 850cc bagi menurunkan kelajuan maksimum dan meningkatkan kecekapan tenaga.

Selain itu, elemen aerodinamik turut akan dipermudahkan bagi menggalakkan aksi perlumbaan yang lebih rapat dan pertarungan sengit di litar. Peranti ride-height dan holeshot pula akan diharamkan bagi meningkatkan kawalan pelumba ketika berada di atas jentera.

Semua motosikal juga diwajibkan menggunakan bahan api 100% mampan, sejajar dengan inisiatif mesra alam yang diterapkan oleh badan induk sukan berkenaan. Perubahan menyeluruh ini bertujuan bukan sahaja untuk mengurangkan kos, tetapi juga meningkatkan aspek relevansi jalan raya serta menonjolkan kemahiran sebenar pelumba di atas trek.

Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer, meluahkan rasa bangga selepas menyaksikan detik bersejarah itu.

“Saya amat gembira kerana kami berjaya ‘menyalakan’ masa depan MotoGP seawal September 2025. Kami berada pada jadual masa yang sempurna untuk menyiapkan keseluruhan jentera tidak lama lagi,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa enjin baharu ini merupakan hasil daripada pengalaman bertahun-tahun KTM dalam MotoGP.

“Kami telah menggabungkan segala ilmu dan data yang dikumpul sepanjang penyertaan kami dalam MotoGP ke dalam pembangunan enjin ini. Saya yakin ia bakal menjadi penanda aras baharu menjelang musim 2027. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan dan kilang atas usaha besar dalam menjayakan projek ini.

Dengan langkah awal ini, KTM menjadi antara pengeluar terawal yang menunjukkan komitmen terhadap transformasi teknologi hijau dalam sukan permotoran dunia sekali gus menandakan permulaan kepada babak baharu dalam sejarah MotoGP yang lebih lestari dan berinovasi tinggi.

View this post on Instagram

A post shared by KTM Factory Racing (@ktmfactoryracing)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related