Raul Fernandez belum pulih sepenuhnya

Pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez Gonzalez, mengakui dirinya masih belum berada dalam prestasi terbaik selepas mengharungi ujian pertama MotoGP di Buriram ekoran pembedahan pada tangan kirinya minggu lalu.

Meskipun masih bergelut dengan kecederaan fizikal, pelumba muda itu menyifatkan aksinya dalam kembali ke litar pada hari ini sebagai satu pencapaian yang positif setelah berjaya melengkapkan 33 pusingan dan menamatkan sesi ujian di tempat ke-19 secara keseluruhan.

“Keadaan fizikal saya masih belum begitu baik. Selepas kemalangan, saya tidak boleh berada dalam keadaan yang selesa dan saya juga harus berhati-hati bagi mengenal pasti posisi terbaik di atas jentera pada ketika ini.

“Di Buriram, saya bernasib baik kerana tidak banyak litar yang selekohnya ke kiri kerana apabila saya berada di selekoh kiri, saya tidak boleh menolak daya tekanan dengan kuat kerana kecederaan yang masih belum pulih sepenuhnya pada jari dan kaki saya.

“Saya tidak dapat meletakkan posisi kaki seperti biasa, hampir mustahil. Tapi secara keseluruhan, ia hari yang positif. Kesakitan masih boleh dikawal, dan itu perkara paling penting,” katanya selepas sesi ujian hari ini.

Tambahnya, dia tidak memberi tumpuan kepada catatan masa terpantas sebaliknya lebih fokus kepada membina rentak dan menguji tayar terpakai. Pelumba berusia 24 tahun itu turut berharap dapat mencapai tahap kecergasan penuh menjelang Grand Prix Thailand hujung bulan ini.

“Saya menjalani pembedahan bukan sekadar untuk ujian ini, tetapi juga untuk memastikan saya cergas untuk minggu perlumbaan.

“Jika saya tidak lakukannya, mungkin saya tidak sempat untuk berlumba nanti. Saya yakin saya akan berada pada tahap 95% atau 100% untuk perlumbaan.

“Jika tidak, saya tetap akan memberikan yang terbaik seperti biasa,” tambahnya lagi.

Walaupun mengalami kesukaran, Fernandez optimis untuk sesi ujian seterusnya dan ingin melihat sejauh mana peningkatan yang boleh dicapainya.

Fernandez juga menyatakan dapat melihat peningkatan ketara yang ada pada jentera RS-GP 2025 berbanding versi tahun lalu, tetapi mengakui memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri.

“Saya nampak banyak perkara positif pada jentera ini. Ada dua atau tiga aspek yang sebelum ini kami sukar kuasai sejak tiba di Aprilia, tetapi kini telah banyak diperbaiki. Saya rasa jentera ini lebih mudah dikendalikan dan memiliki potensi lebih tinggi dari segi rentak perlumbaan serta catatan masa.

“Tetapi ia bukan jentera yang mudah. Saya perlukan lebih masa untuk memahami, dan mekanik juga perlukan masa untuk mencari tetapan terbaik. Persoalannya, berapa lama lagi saya perlu berada di atas jentera ini sebelum mereka dapat menjadi benar-benar pantas?,” tambahnya.

Fernandez dan pasukan kini fokus kepada baki dua hari ujian di Buriram untuk mencari pelarasan terbaik sebelum pusingan pembukaan MotoGP 2025 bermula pada 28 Februari nanti.

Minggu lalu, Naib juara Moto2 2021 itu mengalami kemalangan pada hari pertama ujian Sepang, Malaysia yang turut menandakan dua tahun berturut-turut pelumba itu terpaksa keluar dari sesi ujian terlebih awal. Insiden tersebut turut menyebabkan tulang tangan kirinya patah.

Beliau dikejarkan ke Hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan pasukannya secara rasmi semalam bakal kembali ke litar untuk mengikuti sesi ujian di Thailand minggu ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related