Francesco Bagnaia enggan mengungkapkan kekecewaannya selepas gagal mempertahankan gelaran Juara Dunia dengan menyatakan beliau mengetahui punca kekalahannya lebih awal.
Juara dunia dua kali yang ditewaskan oleh pelumba Prima Pramac, Jorge Martin pada perlumbaan penutup musim di Grand Prix Solidariti Barcelona 2024 minggu lalu, mengakui menerima kekalahannya dengan hati terbuka dan mengetahui betapa sukar untuk mengatasi defisit 24 mata selepas lapan kali gagal menamatkan perlumbaan (DNF) pada musim ini.
“Sejujurnya, saya tidak kecewa. Saya bukan jenis orang yang mudah kecewa dengan sesuatu perkara. Saya sudah tahu mengapa saya kalah.
“Dan saya tidak akan sesekali mencari alasan atas apa yang sudah berlaku. Saya sebenarnya mengetahui apa yang akan terjadi selepas aksi GP Malaysia dan ianya agak sukar untuk membayangkan kemenangan. Jorge pula menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang,” katanya kepada pihak media selepas sesi ujian pada hari Selasa lalu.
Walaupun pelumba Itali itu berjaya mengekalkan persaingan kejuaraan hingga ke perlumbaan terakhir dan memenangi kedua-dua perlumbaan di Barcelona, namun beliau terpaksa akur tewas di tangan Martin dengan perbezaan 10 mata di carta kejuaraan dunia.