Marc Marquez terus membuktikan dirinya sebagai pencabar utama musim ini apabila meraih kemenangan keenam berturut-turut dalam perlumbaan Sprint MotoGP 2025,menewaskan pendahulu petak Fabio Quartararo dalam pertarungan sengit di Litar Le Mans.
Perlumbaan yang berlangsung sekitar 9 malam tadi turut menyaksikan Quartararo yang bermula dari petak utama berturut-turut buat kali pertama sejak 2021, kehilangan kelebihan sejurus selepas lampu isyarat padam, namun pelumba Monster Yamaha itu kembali memintas Marquez di Chicane Dunlop.
Aksi agresifnya mengekang juara dunia lapan kali itu sehingga ke pusingan ke-7 daripada 13.
Namun, Marquez mula menyerang dan berjaya mendahului di Chicane Dunlop. Quartararo cuba membalas, tetapi pelumba Gresini itu membalas kembali di selekoh ke-8 dan mula melebarkan jurang. Quartararo kemudiannya diburu oleh adik Marquez, Alex, serta pelumba rookie Fermin Aldeguer.
“Saya berasa gembira. Sepanjang berada di atas jentera saya, saya dapat merasakan aura positif, dan saya makin memperbaiki lumbaan saya. Hari ini, saya berasa amat baik. Saya menunggang dengan penuh sabar, mengambil masa saya untuk mempamerkan aksi terbaik dalam tiga selekoh awal.
“Ketika saya dapat melihat Quartararo sedang bergelut, saya tahu itulah merupakan peluang untuk saya memintasnya dengan kunci utama adalah dengan mengawal kawalan tayar saya dalam cara yang terbaik dan tidak melakukan sebarang kesilapan dan mengekalkan kelajuan dalam keadaan yang seimbang,” kata Marc selepas memenangi perlumbaan tersebut.
Alex mengambil alih kedudukan kedua sebelum Aldeguer mula memberikan tekanan kepada Quartararo. Selepas beberapa aksi kejar-mengejar mendebarkan, Aldeguer berjaya memintas pelumba tuan rumah itu untuk meraih podium MotoGP pertamanya, namun terjatuh tidak lama kemudian selepas melanggar belakang jentera Marquez semasa melambai ke arah penonton.
Di belakang kelompok hadapan, Pedro Acosta dan Maverick Vinales bertarung bagi menentukan pelumba KTM terbaik. Kedua-duanya semakin hampir memintas Quartararo di penghujung perlumbaan, tetapi drama tercetus apabila Acosta terjatuh di selekoh ke-13 pada pusingan terakhir.
Johann Zarco menamatkan perlumbaan Sprint di tempat keenam sebagai pelumba Honda terbaik, manakala pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, yang bermula cemerlang, jatuh merudum dalam kelompok pertengahan.
Juara bertahan Francesco Bagnaia pula tersingkir awal selepas terjatuh di Chicane Dunlop ketika berada di kedudukan keempat, sekaligus menamatkan rekod penyudah sempurnanya musim ini. Nasib sama turut menimpa Brad Binder yang turut tersenarai dalam senarai tidak menghabiskan perlumbaan(DNF). Perlumbaan kali ini turut melihat para pelumba memilih kombinasi tayar depan keras dan tayar belakang lembut untuk perlumbaan kali ini.
Dalam perkembangan lain, Yamaha membawa kemas kini enjin serta komponen casis baharu hasil ujian di Jerez ke Le Mans minggu ini. Pedro Acosta dan Somkiat Chantra pula menjalani pembedahan arm pump selepas GP Jerez, namun hanya Acosta yang beraksi di Le Mans, manakala Chantra masih dalam proses pemulihan.
Miguel Oliveira kembali beraksi bersama Pramac selepas pulih daripada kecederaan bahu yang dialami di Argentina. Sementara itu, tempat Jorge Martin yang masih cedera terus diisi oleh pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori.
Takaaki Nakagami membuat penampilan wild-card pertamanya bersama Honda selepas bersara sebagai pelumba tetap hujung musim lalu.
Dengan kemenangan ini, Ducati kini menyamai rekod kemenangan GP berturut-turut terbanyak oleh Honda (22 kemenangan). Jika jentera Desmosedici menang dalam perlumbaan utama hari ini, mereka bakal mencipta sejarah baharu.
Berikut merupakan carta kejuaraan setakat perlumbaan Sprint GP Perancis malam semalam dengan Marquez kembali merampas kedudukan adikya, Alex untuk mengungguli carta.