Marc Marquez dan Pecco Bagnaia menasihatkan Jorge Martin agar tidak terburu-buru

Impian Jorge Martin untuk mempertahan gelaran MotoGP untuk musim 2025 sekali lagi menjadi satu lagi halangan apabila pelumba Sepanyol itu disahkan akan terlepas kedua-dua perlumbaan pembukaan musim di Thailand, juga Argentina akibat kecederaan serius di pergelangan tangan. Dalam sesi sidang media di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Marc Marquez dan Pecco Bagnaia, mengulas tentang keadaan Martin dan memberi komen supaya Martin tidak terlalu tergesa-gesa kembali ke litar.

Selepas terlepas sebahagian besar ujian pramusim 2025 akibat kemalangan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang di hari pertama ujian pramusim, Martin berusaha keras untuk mendapatkan semula kecergasannya sebelum musim bermula. Namun, dalam usahanya mempercepatkan pemulihan, Martin terlibat dalam satu lagi kemalangan ketika berlatih supermoto sehari sebelum berlepas ke Thailand.

Akibatnya, Martin mengalami beberapa patah tulang, termasuk yang paling membimbangkan—patah pada tulang skafoid di pergelangan tangan kiri. Dengan tempoh penyembuhan yang panjang dan berpotensi untuk komplikasi, Martin kini bukan sahaja terlepas perlumbaan di Thailand, tetapi juga pusingan kedua di Argentina, dan kemungkinan lebih banyak perlumbaan pada masa hadapan.

Tulang Skafoid: Kepentingannya untuk Penunggang MotoGP

Gambar: OrtoInfo

Bagi penunggang MotoGP, kesihatan pergelangan tangan adalah elemen penting dalam prestasi mereka. Tulang skafoid, yang terletak di pergelangan tangan, memainkan peranan utama dalam kestabilan dan fleksibiliti, membolehkan penunggang menahan daya brek yang tinggi dan perubahan arah secara mendadak.

Masalah dengan tulang ini adalah bekalan darahnya yang terhad, menyebabkan penyembuhan menjadi sangat perlahan. Jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk kesakitan kronik dan kehilangan kekuatan genggaman—sesuatu yang boleh menjejaskan prestasi seorang pelumba secara kekal. Kes kecederaan seperti ini pernah menamatkan karier juara Superbike Dunia 2007, James Toseland, yang gagal mendapatkan semula mobiliti penuh pada pergelangan tangannya selepas kecederaan.

Marc Marquez, yang mempunyai pengalaman sendiri dalam isu kecederaan, turut menghubungi Martin dengan nasihat supaya memberi masa untuk pemulihan sepenuhnya.

“Saya mesej dia pagi ini, berdasarkan perasaan dan pengalaman saya. Saya hanya berkata kepadanya, ‘Hormati badan anda,’” kata Marquez.

Marquez sendiri pernah membuat keputusan tergesa-gesa selepas kecederaan patah lengan pada 2020, di mana percubaannya untuk kembali berlumba terlalu awal menyebabkan dia perlu menjalani beberapa pembedahan dan bertahun-tahun pemulihan. Oleh itu, dia menasihati Martin agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Saya tidak menghormati badan saya dahulu, dan saya menerima padahnya. Saya beritahu dia, ‘Jika anda kehilangan tiga, empat, lima, enam perlumbaan, ia bukan masalah besar.’ Dia masih muda, sangat berbakat, dan mempunyai seluruh karier di hadapannya.”

Marquez turut mengingatkan kata-kata yang pernah dikatakannya semasa tempoh pemulihan sendiri, yang kini diulang oleh Martin dalam hantaran media sosialnya: “Banyak perlumbaan menanti, tetapi hanya ada satu tangan.”

Juara bertahan MotoGP, Pecco Bagnaia, turut menghubungi Martin, memberikan pesanan yang sama agar menunggu sehingga benar-benar pulih sebelum kembali ke litar.

“Saya mengirim pelukan besar kepadanya (secara maya) kerana sukar untuk mengatakan sesuatu dalam situasi seperti ini,” kata Bagnaia. “Satu-satunya perkara yang ingin saya sampaikan kepadanya, dan saya sudah katakan kepadanya, ialah bertenang, jangan tergesa-gesa.”

Bagnaia juga percaya bahawa kemalangan Martin ketika latihan mungkin disebabkan oleh faktor cuaca sejuk, yang meningkatkan risiko kehilangan cengkaman semasa menunggang.

“Untuk menunggang dalam keadaan begitu, anda perlu sangat berhati-hati, dan kadang-kadang kemalangan teruk boleh berlaku,” jelasnya. “Dia memang sangat malang, kerana dia kini perlu menunggu lebih lama untuk kembali cergas sepenuhnya—dan tulang skafoid boleh mengambil masa yang sangat lama untuk sembuh.”

Seperti Marquez, Bagnaia turut menegaskan bahaya jika Martin cuba berlumba sebelum benar-benar pulih:

“Seperti yang Marc katakan, jika dia mengalami satu lagi insiden sebelum pulih sepenuhnya, dia boleh membahayakan kariernya lebih jauh. Kadang-kadang, lebih baik menunggu daripada mengambil risiko yang boleh membawa padah.”

Walaupun Martin sudah pasti ingin kembali secepat mungkin, pasukan Aprilia menegaskan bahawa kesihatannya adalah keutamaan mereka. Ketua Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola, secara berseloroh berkata, “Saya yakin dia sedang memikirkan untuk menunggang esok,” tetapi menegaskan bahawa pasukan tidak akan membenarkannya kembali sebelum dia benar-benar pulih.

Ketiadaan Martin untuk sekurang-kurangnya dua perlumbaan pertama mungkin akan memaksa Aprilia untuk mencari pelumba pengganti dalam tempoh sementara. Pada masa yang sama, persaingan kejuaraan kini menjadi lebih terbuka, dengan pesaing-pesaing lain berpeluang untuk mengambil kesempatan daripada ketidakhadirannya.

Namun, buat masa ini, cabaran terbesar Martin bukanlah lawannya di litar, tetapi bagaimana dia menguruskan tempoh pemulihannya. Adakah dia akan mengambil pendekatan berhati-hati seperti yang dinasihatkan oleh Marquez dan Bagnaia, atau adakah dia akan mengambil risiko untuk kembali lebih awal? Sejarah telah menunjukkan bahawa kesabaran boleh menjadi perbezaan antara pemulihan yang berjaya dan kesilapan yang membawa akibat jangka panjang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related