Pelumba Unibet Tietema Rockets, Zeb Kyffin mencipta kejutan apabila memenangi Peringkat 7 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dari Melaka ke Medini Iskandar Puteri, Johor hari ini.
Ia merupakan kemenangan pertama dalam karier profesional bagi pelumba kelahiran London yang berusia 27 tahun itu sejak bersama Unibet pada 2023.
Kyffin melengkapkan kayuhan jarak paling panjang 214.9km dalam edisi ke-29 PLTdL25 ini, dengan masa 4 jam 37 minit 39 saat, atau purata kelajuan 46.4kmj.
“ Tiada perancangan awal sebelum bermula dan saya hanya berada di dalam peloton. Tetapi pada 15km terakhir saya mengambil kesempatan meloloskan diri, dan dibiarkan peloton yang diketuai pasukan Tudor dan Uno-X.
“Kemudian ternampak seorang pelumba (Nur Aiman) yang semakin perlahan di depan. Saya bukanlah pakar pecut tetapi saya terus mengejar dan dapat memintasnya.
Saya sangat berbangga dengan diri sendiri dan bersyukur kepada semua yang percaya serta sentiasa menyokong saya,” katanya selepas perlumbaan.
Medini turut menyaksikan kegembiraan buat peminat tempatan apabila pelumba kelahiran Johor yang menyarung jersi Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli menduduki tempat kedua, sekali gus menjadi pelumba tempatan ketiga menaiki podium peringkat dalam sejarah 29 tahun penganjuran PLTdL.
Selain dua senario yang menggembirakan Kyffin dan Nur Aiman itu itu, Peringkat 7 turut diwarnai insiden kemalangan pelumba legenda Uno-X Mobility, Alexander Kristoff bersama rakan sepasukan yang juga pendahulu kutipan mata Raja Pecut, Erland Blikra, hingga memaksa pelumba 38 tahun itu gagal meneruskan kayuhan.
Dalam masa yang sama, hari ini tidak ada perubahan besar berlaku dengan semua pemegang jersi masih mengekalkan jersi masing-masing walaupun berkayuh di bawah cuaca panas terik sepanjang menempuh jarak perlumbaan terpanjang bagi edisi kali ini.
Empat penyarung jersi – jersi hijau pendahulu tajaan PETRONAS yang disarung Joris Delbove (TotalEnergies); jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disarung Erland Blikra (Uno-X Mobility), jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2 milik Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) dan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Rakan Muda milik Nicolya Vinokourov (XDS-Astana) kekal dipertahan mereka yang berkayuh secara selamat dan menamatkan perlumbaan di dalam kelompok besar.
Peringkat 8 dan terakhir dalam edisi ke-29 PLTdL25 ini diteruskan esok dari Dataran Ledang, Tangkak dan berakhir di hadapan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) sejauh 180.2km, dengan zon pecutan menanti di Alor Gajah (km39.9); Seremban (km98.5) dan Semenyih (km131.2) serta tiga zon pendakian Kategori 3 di Bukit Mantin (km103.5) dan dua pendakian Kategori 2 di Bukit Hantu (km153.4) dan Ampang (km165.9).
Baca juga:


