Penamat peringkat ke-7 Le Tour de Langkawi menjadi detik manis buat pelumba negara, Mohammad Nur Aiman Rosli yang berjaya menamatkan saingan di halaman sendiri dengan menempatkan diri di podium sekali gus meraih tempat kedua.
Aiman yang menunjukkan kayuhan penuh debaran menamatkan saingan sejauh 214.9 kilometer dari Melaka ke Medini dengan catatan 4 jam 37 minit 41 saat hari ini.
Pelumba berusia 26 tahun itu menghela nafas lega meskipun gagal melakukan pecutan terakhir untuk merampas tempat pertama. Namun, pencapaian itu sudah cukup bermakna buat pelumba kelahiran Muar tersebut yang sudah lama idamkan kedudukan podium.
“Syukur alhamdulillah, nombor dua.
“Saya dah pecut dari awal, jadi di saat-saat akhir saya dah kehilangan tenaga untuk membuat kayuhan, tetapi saya redha dan terima keputusan ini. Terima kasih Johor, pasukan Basikal Terengganu (Terengganu Cycling Team) kerana menyokong dan memberi peluang kepada saya,” ujar Aiman penuh emosi selepas perlumbaan.
Baki 10km terakhir, Aiman pada mulanya mendahului perlumbaan sebelum dipintas Zeb Kyfinn dari UCI ProTeam Unibet Tietema Rockets di garisan penamat dengan kelebihan 00.02 saat di hadapan. Menyusul di tempat ketiga, Juara Peringkat ke-6 Arvid De Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling Team.
Kejayaan ini menjadikan Muhammad Nur Aiman Rosli sebagai pelumba Malaysia ketiga dalam sejarah LTdL yang berjaya menaiki podium, selepas Mohd Harrif Saleh dan Anuar Manan. Lebih manis lagi, Aiman turut dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Asean serta Best Combative Rider bagi peringkat hari ini satu pengiktirafan yang cukup bermakna buatnya selepas menampilkan aksi penuh semangat dan kayuhan luar biasa sepanjang perlumbaan.
LTdL 2025 bakal melabuhkan tirainya esok dengan peringkat kelapan sejauh 180.2km dari Tangkak ke Kuala Lumpur dengan Alor Gajah, Seremban dan Semenyih, sebagai zon pecutan selain tiga pendakian utama di Sentul, Bukit Hantu dan Ampang Lookout Point.
Baca juga: