Pasukan Red Bull KTM Factory Racing bersedia menghadapi musim 2026 Kejuaraan Dunia FIM Hard Enduro dengan sandaran utama kepada juara bertahan, Manuel Lettenbichler yang bertekad meneruskan dominasi dalam siri sembilan pusingan tahun ini.
Pelumba Jerman itu memburu gelaran kelima berturut-turut dengan menunggang jentera KTM 300 EXC, selepas sekali lagi menampilkan prestasi cemerlang musim lalu dengan empat kemenangan dan dua podium untuk mengesahkan kejuaraan dunia.
Sepanjang musim sejuk, Lettenbichler turut beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM SuperEnduro 2026 dan menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan meskipun terlepas dua daripada tujuh pusingan, sekali gus membuktikan konsistensi dan versatilitinya menjelang musim luar (outdoor) yang lebih mencabar.
Kempen Hard Enduro 2026 akan membuka tirai di Alestrem, Perancis pada 17 hingga 19 April, sebelum siri perlumbaan diteruskan di Portugal, Amerika Syarikat, Itali, Sweden dan kembali ke Itali. Saingan kemudian beralih ke Lesotho sebelum ditutup dengan dua pusingan terakhir di Turkiye dan Sepanyol pada Oktober.
Selain memburu kejuaraan dunia, Lettenbichler turut meletakkan sasaran tinggi dalam dua acara ikonik iaitu Red Bull Erzbergrodeo pada Jun dan Red Bull Romaniacs pada Julai. Beliau kini memburu kemenangan kelima berturut-turut di Erzbergrodeo serta kemenangan ketiga berturut-turut di Romaniacs, yang juga berpotensi menjadi kemenangan keenam dalam kariernya di acara tersebut.
Menurut Lettenbichler, beliau berada dalam keadaan terbaik menjelang musim baharu selepas memberi fokus penuh kepada latihan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Saya berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan musim 2026, lebih-lebih lagi dengan perlumbaan pertama yang bakal dimulakan di Alestrem yang juga merupakan medan perlumbaan yang saya gemari. Saya sudah bersedia untuk musim luar yang sibuk dan mencabar ini. Sasaran saya jelas, mahu merebut gelaran sekali lagi dan akan berikan yang terbaik sejak perlumbaan pertama,” katanya.
Pengurus pasukan, Fabio Farioli pula menyatakan keyakinan tinggi terhadap kemampuan pelumbanya itu, yang disifatkan sebagai penanda aras dalam disiplin hard enduro ketika ini.
“Mani telah membuktikan berkali-kali bahawa dia adalah yang terbaik, bukan sahaja dari segi kelajuan tetapi juga konsistensi dan mentaliti dalam perlumbaan sukar. Kami yakin mampu bersaing di semua pusingan dan juga acara besar seperti Erzbergrodeo dan Romaniacs,” katanya.


