Keadaan tayar halang Giannantonio pamer prestasi cemerlang

Pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Fabio Di Giannantonio, menamatkan saingan di tempat keenam pada Grand Prix (GP) Malaysia namun mengakui ia bukanlah perlumbaan yang mudah buat dirinya.

Menurut pelumba berusia 27 tahun itu, keadaan tayar yang tidak stabil sepanjang perlumbaan memberi kesan besar terhadap prestasinya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Walaupun begitu, beliau tetap berpuas hati kerana berjaya menamatkan perlumbaan dengan selamat dan mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan.

“Hari ini sangat mencabar. Tayar saya tidak berada dalam keadaan terbaik dan agak sukar untuk dikawal malah di laluan lurus pun jentera seperti ‘melawan’. Kami terpaksa menukar sedikit pelarasan sebelum perlumbaan, dan saya gembira kerana perubahan itu membantu saya menamatkan perlumbaan dengan baik,” jelas Di Giannantonio.

Pelumba Itali itu turut menyifatkan cuaca panas terik di Sepang antara faktor utama yang menjadikan tunggangannya lebih mencabar berbanding litar lain musim ini.

“Perlumbaan kali ini memang memenatkan, bukan sahaja kerana suhu yang tinggi tetapi juga keadaan tayar yang jauh berbeza berbanding musim lalu. Saya perlu bekerja keras untuk mengekalkan konsistensi dan mengawal motosikal dari awal hingga akhir,” katanya.

Di Giannantonio turut mengambil kesempatan menzahirkan keprihatinannya terhadap insiden yang berlaku dalam perlumbaan Moto3 yang menyaksikan kemalangan besar melibatkan Jose Antonio Rueda dan Noah Dettwiler, yang menyebabkan perlumbaan terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

“Saya harap semua pelumba yang terlibat berada dalam keadaan baik. Ia bukan sesuatu yang kita mahu lihat di atas trek, dan saya doakan mereka cepat pulih,” ujarnya.

Sebelum perlumbaan MotoGP, dua pelumba Moto3 digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaiki helikopter ekoran terlibat dalam kemalangan mengerikan sehingga perlumbaan terpaksa diberhentikan dan jumlah pusingan dikurangkan daripada 15 ke 10.

Setakat petang Ahad, dimaklumkan Rueda sudah sedarkan diri dan dipercayai mengalami keretakan tulang di bahagian tangan dan terdapat beberapa kesan lebam di badannya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related