Jorge Martin terlepas GP Thailand

Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin (Aprilia Racing), disahkan tidak akan beraksi di Grand Prix Thailand hujung minggu ini selepas mengalami kecederaan serius di tangan kiri akibat kemalangan ketika sesi latihan.

Pelumba yang mengenakan jentera bernombor #1 pada musim 2025 itu, sebelum ini sudah terlepas sebahagian besar sesi ujian pramusim selepas terjatuh pada hari pertama di Litar Antarabangsa Sepang, tempoh hari. Kini, Martin sekali lagi diuji apabila mengalami patah pada bahagian radius, beberapa tulang karpal di tangan kiri serta patah pada tulang tumit (calcaneal) ketika sesi latihan pada Isnin, sebelum berlepas ke Thailand.

Martin dijadualkan menjalani pembedahan di Klinik Dexeus, Barcelona, pada hari Selasa, dengan tempoh pemulihan akan ditentukan selepas prosedur selesai.

“Setelah menjalani pemeriksaan perubatan, pasukan perubatan memutuskan untuk menjalankan pembedahan bagi menstabilkan patah pada radius serta scaphoid kiri,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Aprilia Racing.

Bagi menggantikan Martin di aksi perlumbaan pembukaan, pusingan 1 MotoGP 2025, Aprilia mengesahkan bahawa pelumba ujian mereka, Lorenzo Savadori, akan mengambil alih jentera RS-GPnya di Buriram.

Aprilia pada awalnya berharap agar Martin dapat pulih tepat pada masanya bagi menyertai perlumbaan pembuka musim di Litar Antarabangsa Chang, namun kecederaan terbaru ini memaksa mereka mengubah perancangan.

Dengan hanya sempat melengkapkan 90 pusingan menggunakan RS-GP sepanjang musim sejuk ini, termasuk ujian pasca-musim di Barcelona tahun lalu, ketiadaan Martin di GP Thailand menjadi tamparan hebat buat Aprilia. Kehilangan juara bertahan di perlumbaan pembuka musim pastinya mencetuskan cabaran besar bagi pasukan, yang kini perlu menyesuaikan strategi mereka bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Ketiadaan Martin di perlumbaan pembukaan juga menandakan kali pertama sejak Freddie Spencer pada tahun 1984 dimana seorang juara bertahan tidak dapat menyertai perlumbaan pembukaan musim yang seterusnya.

Musim lalu, Martin mencipta sejarah sebagai pelumba pertama dalam era moden yang menjuarai MotoGP bersama pasukan satelit. Awalnya, Ducati telah memilihnya untuk menaiki jentera kilang mereka bagi musim 2025, namun perubahan mendadak berlaku selepas Marc Marquez menolak tawaran untuk menyertai pasukan Pramac, yang turut memaksa Ducati menukar keputusan mereka.

Sebagai tindak balas, Martin memilih untuk menandatangani kontrak dua tahun bersama Aprilia, menjadikannya pelumba nombor satu dalam pasukan itu bagi musim 2025 dan 2026. Walaupun begitu, sebelum kecederaan ini berlaku, Martin sendiri sudah mengakui bahawa musim 2025 bukanlah tahun di mana dia akan mempertahankan kejuaraannya, sebaliknya lebih kepada fasa penyesuaian dengan jentera RS-GP.

Kini, dengan kecederaan terbaru ini, Aprilia dan Martin perlu menunggu lebih lama sebelum dia dapat kembali ke litar dan memberikan saingan kepada pelumba lain dalam usaha mereka untuk mencipta sejarah bersama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related