Pelumba Gresini Racing MotoGP, Marc Marquez mengakui pernah mempunyai perancangan untuk mengumumkan persaraannya ketika melalui jalan yang berliku dalam karier hidupnya.
Pelumba Sepanyol itu berkata demikian dalam temubual bersama MotoGP ketika mengulas mengenai titik hitam hidupnya selepas terpaksa menjalani pembedahan dan berjaya memenangi perlumbaan kedua selepas melakukan kemunculan semula pada tahun 2022 dengan memenangi GP Jepun.
“Bagi saya, saya bersyukur apa yang saya lakukan tahun lepas berhasil, jika tidak saya bakal mengumumkan persaraan saya tahun ini. Saya mempunyai banyak persoalan, tanda tanya dan kerisauan dalam hidup saya.
“Selepas setahun, segala kerisauan dan kebimbangan saya digantikan dengan prestasi yang lebih cemerlang dengan pemikiran yang ketika ini lebih kompetitif dari sebelum ini.
“Saya tidak mengatakan yang saya sudah kembali di tahap pada tahun 2019 sepenuhnya, namun menurut saya, tahap kompetitif saya ketika ini adalah cukup untuk saya tetap bekerja keras, dan meneruskan usaha saya dalam mengembalikan semangat dalam MotoGP dan cukup sekadar saya dapat merasai semula nikmat kemenangan.
“Selepas kemenangan saya di Aragon dan Missano. Kejayaan itu umpama dadah yang membuatkan saya mahukan lebih lagi.
Pelumba berusia 31 tahun itu, turut mengungkapkan kemenangan yang dirangkul telah banyak mengubah hidup dan membentuk pemikirannya ke arah lebih positif.
“Kerana waktu dahulu, saya selalu merasakan kemenangan adalah satu yang sukar untuk saya kecapi namun sekarang saya memahami apa itu kemenangan. Ianya lebih dari perkara biasa, ianya mampu mengubah cara anda berfikir dan memahami sesuatu dengan lebih baik.
“Kemenangan memberikan saya keyakinan yang sangat tinggi, bila anda tidak mampu mendapat keputusan yang terbaik selama 3 hingga 4 tahun anda akan mula mempersoalkan diri anda, namun ketika ini saya mampu menjawab segala persoalan yang bermain di minda dengan membawa keyakinan di atas podium dengan persembahan terbaik dan prestasi yang cemerlang,” katanya.