Grand Prix Argentina 2025 di Termas de Rio Hondo dua minggu lalu menyaksikan aksi mendebarkan dengan Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) mencipta kemenangan luar biasa dalam perlumbaan penuh drama. Kejayaan ini bukan sahaja menandakan kemenangan ke-64 dalam karier MotoGP beliau, malah membawanya menyamai rekod Angel Nieto dengan 90 kemenangan keseluruhan dalam semua kelas.
Lebih manis, ini merupakan kemenangan keempat Marquez di Argentina selepas edisi 2014, 2016, dan 2019. Pelumba #93 itu juga mencatat sejarah sebagai pelumba pertama yang memenangi dua perlumbaan Grand Prix pembuka musim sejak Fabio Quartararo pada 2020.
Menambah lagi kejayaannya, Marquez menjadi pelumba pertama yang melakukan sapu bersih dalam dua GP berturut-turut, dengan merangkul petak utama, catatan masa terpantas, serta kemenangan berganda dalam Sprint dan perlumbaan utama Grand Prix.
Dominasi Ducati & Podium Pertama Morbidelli Dengan Jentera Itali
Kehebatan Ducati terus terbukti apabila mereka mencatatkan kemenangan ke-19 berturut-turut dalam kelas perdana. Rekod ini menghampiri pencapaian Honda, yang sebelum ini mencatat 22 kemenangan berturut-turut dari Malaysia 1997 hingga Belanda 1998.
Di tempat kedua, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) melakar podium berturut-turut buat pertama kali sejak Perancis dan Aragon 2020, ketika masih menunggang Honda. Sementara itu, Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus menamatkan penantian 1414 hari sejak podium terakhirnya di Jerez 2021. Ini juga merupakan podium pertama Morbidelli bersama Ducati dalam perlumbaan utama, selepas meraih podium Sprint di San Marino tahun lalu.
Bagnaia Terlepas Podium, Honda Tunjuk Kemajuan
Juara bertahan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sekali gus memecahkan rekod tujuh podium berturut-turutnya sejak insiden kemalangan di Emilia-Romagna tahun lalu. Menariknya, Termas de Rio Hondo kekal sebagai salah satu daripada dua litar dalam kalendar MotoGP di mana Bagnaia belum pernah menjejakkan kaki di podium, bersama dengan Brno.
Di belakangnya, Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) menamatkan perlumbaan di tempat kelima, prestasi terbaiknya sejak P4 di Thailand tahun lalu sebelum menjalani pembedahan bahu. Sementara itu, Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) menampilkan aksi cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di tempat keenam, pencapaian terbaiknya bersama Honda, sekali gus menjadi keputusan terbaik Honda sejak Marc Marquez meraih P6 di Thailand 2023.
Honda turut menunjukkan peningkatan apabila tiga pelumbanya berjaya menembusi kelompok 10 terbaik buat pertama kali sejak Portugal 2022. Zarco (P6), Joan Mir (P9) dan Luca Marini (P10) memberikan petanda positif bahawa jentera RC213V semakin kompetitif.
Rekod Kehadiran Baharu & Fokus ke COTA
Grand Prix Argentina 2025 juga mencipta rekod kehadiran baharu di Termas de Rio Hondo dengan 208,979 penonton sepanjang hujung minggu, membuktikan daya tarikan MotoGP di rantau tersebut semakin meningkat.
Kini, tumpuan beralih ke Litar of The Americas (COTA) di Texas, yang akan menjadi pentas aksi seterusnya dari 28 hingga 30 Mac. Dengan momentum luar biasa Marquez dan cabaran sengit daripada pesaingnya, adakah dia mampu meneruskan rentak kemenangan di Amerika?