GP Qatar ditunda

MotoGP mengesahkan Grand Prix (GP) Qatar tidak dibatalkan walaupun konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah, sebaliknya perlumbaan tersebut akan dijadualkan semula ke tarikh lain dalam kalendar musim ini.

Ketegangan di rantau itu meningkat susulan serangan bersama Amerika Syarikat terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan kebimbangan mengenai status perlumbaan di Litar Lusail.

GP Qatar pada asalnya dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 April, dan keputusan Formula 1 membatalkan GP Bahrain pada tarikh sama turut menimbulkan jangkaan bahawa MotoGP mungkin mengambil langkah serupa.

Namun, pihak penganjur memilih untuk menangguhkan perlumbaan berkenaan ke hujung minggu 8 November, bukannya membatalkannya sepenuhnya.

Mengikut jadual baharu, Qatar akan menjadi sebahagian daripada siri tiga perlumbaan berturut-turut bersama Australia dan Malaysia. Sementara itu, GP Portugal dipindahkan ke 22 November, sebelum musim 2026 melabuhkan tirai di Valencia pada 29 November.

Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan rapi dan kerjasama rapat dengan rakan penganjur di Qatar serta semua pihak dalam paddock.

Beliau menegaskan aspek keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan, di samping memastikan setiap Grand Prix dianjurkan mengikut standard tertinggi.

Ezpeleta turut memaklumkan bahawa peminat yang sudah membeli tiket akan diberi pilihan untuk mengekalkan tiket mereka bagi tarikh baharu, selain menghargai kerjasama penganjur di Portimao dan Valencia yang membantu melancarkan perubahan kalendar.

Menurutnya, jadual yang dikemas kini diyakini mampu mengekalkan kualiti kejuaraan serta terus menawarkan musim perlumbaan yang menarik kepada peminat MotoGP di seluruh dunia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related