Bekas pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Dunia, Adam Norrodin mengakui pelaksanaan sistem elektronik baharu pada jentera pasukannya memberi impak besar terhadap prestasi semasa dalam kelas ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Menurutnya, perubahan tersebut menyebabkan pasukan berdepan kesukaran untuk mencapai tahap prestasi terbaik walaupun terdapat peningkatan jika dibandingkan dengan permulaan musim lalu.
Adam menjelaskan ujian yang dijalankan di Buriram sebelum ini menggunakan enjin standard serta spesifikasi tayar yang berbeza berbanding perlumbaan sebenar di Thailand. Justeru, beberapa perubahan besar telah dilakukan termasuk pada bahagian elektronik jentera bagi musim ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui sesi latihan terkini menunjukkan pasukan masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan konfigurasi baharu tersebut.
“Secara jujurnya, kami sangat-sangat ‘struggle’. Jika dibandingkan dengan prestasi pada penghujung tahun lepas, kami sebenarnya sedikit ‘backward’. Namun, jika dibandingkan dengan permulaan musim tahun lalu, kami berada pada tahap lebih baik,” katanya kepada Tarmac hari ini.
Tambah Adam, beliau sendiri masih dalam proses memahami sepenuhnya karakter sistem elektronik baharu itu, manakala pasukan teknikal turut berusaha mencari tetapan paling sesuai bagi meningkatkan prestasi jentera.
Sehingga kini, pasukan masih belum menemui pakej terbaik, namun beliau berharap penyelesaian dapat dicapai sebelum sesi kelayakan berlangsung.
Secara keseluruhan, pertukaran sistem elektronik menjadi cabaran utama buat Adam dan pasukannya ketika ini, namun mereka optimis mampu mendapatkan konfigurasi terbaik dalam masa terdekat bagi kekal kompetitif dalam saingan ASB1000.
Musim ini, kelas ASB1000 dalam ARRC menampilkan enam pusingan perlumbaan termasuk dua aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus memberi peluang kepada pasukan memperbaiki prestasi sepanjang kempen berlangsung.


