Ducati akui prestasi hambar di GP USA, fokus bangkit di Sepanyol

Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna mengakui pasukannya berdepan hujung minggu yang sukar pada Grand Prix Amerika Syarikat dua minggu yang lalu selepas keputusan yang tidak menepati jangkaan dalam saingan MotoGP.

Menurutnya, perlumbaan di Austin mencerminkan cabaran sebenar yang sedang dihadapi Ducati ketika ini, terutama dengan peningkatan prestasi pasukan lawan.

Walaupun Fabio Di Giannantonio memulakan aksi dengan cemerlang apabila meraih petak utama, rakan sepasukan Francesco Bagnaia dan Marc Marquez hanya bermula dari barisan kedua.

Perlumbaan Sprint menyaksikan kesilapan Marquez membawa kepada penalti long-lap dalam perlumbaan utama, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk bersaing merebut podium. Walaupun tidak berada pada tahap kecergasan terbaik susulan kemalangan pada hari Jumaat, juara dunia itu tetap bangkit dengan semangat juang tinggi untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Dall’Igna turut mengakui Marquez masih belum mencapai tahap optimum dari segi keserasian jentera, dengan tetapan motosikal yang masih memerlukan penambahbaikan.

Sementara itu, Bagnaia hampir mencipta kemenangan dalam perlumbaan Sprint dan dilihat kompetitif pada separuh awal perlumbaan utama. Namun, penurunan mendadak prestasi menyebabkan beliau kehilangan banyak posisi sebelum menamatkan saingan di tempat ke-10.

Dalam pada itu, Di Giannantonio muncul pelumba terbaik Ducati di Austin apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas mempamerkan aksi konsisten meskipun bermula dengan kurang baik.

Dall’Igna menegaskan keputusan di Amerika Syarikat menjadi isyarat jelas bahawa Ducati perlu bekerja lebih keras bagi memastikan pelumba mampu bersaing di kelompok hadapan, terutama ketika saingan musim ini semakin sengit.

“Kami perlu meningkatkan prestasi dan meletakkan pelumba dalam posisi terbaik untuk menyerlah. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat adalah satu ‘wake-up call’ untuk kami kembali ke landasan kemenangan,” katanya.

Saingan MotoGP seterusnya akan diteruskan di Sepanyol pada 24-26 April, yang bakal menjadi pentas penting buat Ducati untuk bangkit dan membuktikan kemampuan sebenar mereka musim ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related