Diggia kembali rangkul kemenangan di Catalunya

Perlumbaan Grand Prix Catalunya menghadirkan pelbagai emosi dan drama apabila Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) kembali merangkul kemenangan selepas menamatkan perlumbaan sebagai juara GP pertamanya sejak Qatar 2023 sekali gus kemenangan sulungnya bersama pasukan VR46.

Pelumba Itali itu tampil cemerlang dalam perlumbaan penuh insiden di Barcelona, terutama selepas perlumbaan yang dimulakan semula yang menyaksikannya menemui rentak luar biasa untuk meninggalkan pencabar lain.

Kemenangan tersebut hadir dengan makna cukup besar buat Di Giannantonio yang turut mendedikasikan kejayaan itu kepada pasukan VR46 dan Valentino Rossi.

“Kemenangan ini untuk mereka dan Vale. Mereka sentiasa percaya kepada saya walaupun ketika orang lain mula menjauh. Saya tidak akan lupakan perkara itu,” katanya.

Di sebalik kejayaan tersebut, Diggia turut mengakui suasana perlumbaan agak sukar secara emosi susulan beberapa insiden kemalangan serius yang berlaku sepanjang perlumbaan.

Tempat kedua pula menjadi milik Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP) yang meneruskan kebangkitan cemerlangnya selepas pulih daripada kecederaan. Ia juga podium Ahad pertama buat pelumba muda Sepanyol itu musim ini.

Aldeguer mengakui beliau masih memerlukan masa untuk benar-benar memahami jentera Ducati dan meningkatkan keyakinan terutama di selekoh kiri.

“Kami perlu gembira dengan keputusan ini kerana permulaan musim saya tidak mudah akibat kecederaan dan proses menyesuaikan diri dengan motosikal ini. Saya masih perlukan masa,” jelasnya.

Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) pula melengkapkan podium di tempat ketiga selepas Joan Mir dikenakan penalti tekanan tayar selepas perlumbaan.

Walaupun berjaya meraih podium, Bagnaia mengakui beliau tidak merasakan dirinya layak berada di kedudukan tersebut selepas perlumbaan yang penuh cabaran termasuk kemalangan di Selekoh 1 ketika restart pertama.

“Saya tidak rasa saya layak untuk podium ini, tetapi untuk kejuaraan dan pasukan, keputusan ini penting,” katanya.

Sementara itu, Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) yang sebelum ini mencuri perhatian dengan pole position dan podium Sprint berdepan nasib malang pada perlumbaan utama apabila masalah teknikal menyebabkan jenteranya tiba-tiba kehilangan kuasa pada Lap 12.

Insiden itu turut menyebabkan pelanggaran dengan Alex Marquez sebelum Acosta kembali menggunakan jentera kedua untuk restart perlumbaan.

“Motor tiba-tiba mati. Saya tiada throttle dan tiada apa-apa kuasa. Semuanya berlaku terlalu pantas,” kata Acosta yang turut mengirimkan sokongan kepada Alex Marquez dan Johann Zarco selepas kemalangan besar tersebut.

Joan Mir pula terlepas podium pertamanya musim ini selepas dikenakan penalti tekanan tayar yang menyebabkannya jatuh ke kedudukan ke-13.

Juara dunia 2020 itu bagaimanapun mengakui mereka perlu menerima keputusan tersebut walaupun merasakan penalti itu agak tidak adil.

“Kami perlu terima peraturan. Saya tidak rasa mendapat kelebihan prestasi, tetapi penalti tetap dikenakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related