Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat keenam hari ini menyaksikan Arvid De Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling Team menampilkan kayuhan bertenaga untuk muncul juara dalam perlumbaan yang berlangsung pada sebelah pagi.
Biarpun berdepan trek licin akibat hujan berterusan, De Kleijn kekal konsisten mengawal rentak sehingga ke garisan penamat, sekali gus menafikan usaha pencabar lain untuk merampas kedudukannya.
“Walaupun perlumbaan hari ini agak sukar, kami tetap berjaya mengawal saingan dan meraih kemenangan. Saya gembira meskipun kondisi hujan sangat mencabar, namun ia juga membantu saya kerana dapat mengimbangi kepanasan dengan kesejukan hujan lebat,” jelas De Kleijn selepas perlumbaan.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas insiden malang melibatkan pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli, yang terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 16.5.
“Ia satu kerugian apabila Malucelli terlibat dalam kemalangan. Saya sebenarnya mahu terus bersaing dengannya, tetapi inilah lumrah perlumbaan. Saya harap dia cepat sembuh. Peringkat ini memang hectic seperti dijangka,” tambah De Kleijn.
Di belakangnya, tempat kedua menjadi milik Erlend Blikra (UXM), manakala Manuel Peñalver Aniorte (PTV) menamatkan saingan di tempat ketiga untuk melengkapkan podium.
Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan reputasi De Kleijn sebagai antara sprinter paling konsisten musim ini, serta menambah rencah dalam persaingan sengit LTdL 2025 yang kini semakin menuju ke kemuncaknya.
Baca juga: