Cuti Musim Panas F1: FIA Wajibkan ‘Factory Shutdown’ Selama 14 Hari

Formula 1 akhirnya memasuki ‘summer break’, iaitu tempoh rehat wajib selama 14 hari sebelum perlumbaan bersambung untuk separuh kedua musim. Setelah beraksi dalam 11 perlumbaan pada tahun ini, pelumba dan kru pasukan diberi peluang berehat bagi memulihkan tenaga dan meluangkan masa bersama keluarga.

Walau bagaimanapun, jika anda menyangka seluruh dunia F1 sedang bercuti di pantai atau berehat di rumah, hakikatnya jauh berbeza. Di sebalik tempoh rehat ini, masih banyak perkara penting yang berlaku.

Pelumba Akhirnya Ada Masa Berehat

Bagi pelumba, cuti musim panas merupakan masa yang terbaik untuk mereka menetapkan semula minda sebelum meneruskan aksi di litar pada separuh musim kedua.

Sepanjang musim, mereka melalui jadual yang padat dengan perlumbaan, sesi simulator, latihan fizikal dan aktiviti bersama penaja. Rehat ini penting supaya mereka kembali segar untuk baki musim. Namun, mereka tidak akan berhenti berlatih sepenuhnya. Program kecergasan tetap diteruskan bagi memastikan tahap kecergasan tidak menurun.

FIA Mewajibkan Factory Shutdown

Di dalam dunia F1, FIA mewajibkan 14 hari cuti rehat pada musim panas di mana kebanyakan aktiviti pembangunan kereta F1 mesti dihentikan.

Dalam tempoh ini, pasukan tidak dibenarkan menjalankan banyak kerja berkaitan prestasi kereta, termasuk pembangunan teknikal tertentu seperti melarang perubahan reka bentuk kereta, naik taraf kereta dan ujian terowong angin. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pasukan yang mempunyai sumber lebih besar terus bekerja tanpa henti, di samping menjaga kebajikan kakitangan.

Meskipun cuti musim panas masih berjalan, sebenarnya kebanyakan pasukan akan merancang giliran cuti supaya operasi penting masih dapat diteruskan sebelum dan selepas tempoh penutupan wajib. Sebaik sahaja tempoh itu tamat, jurutera akan kembali bekerja untuk menganalisis prestasi separuh pertama musim dan merancang pelan naik taraf kereta bagi perlumbaan yang berbaki.

Walaupun dikenali sebagai summer break, tempoh ini sebenarnya lebih tepat digambarkan sebagai masa untuk ‘reset’. Pelumba mendapat peluang memulihkan tenaga, kakitangan menikmati rehat yang telah lama dinantikan, manakala pasukan menggunakan masa yang ada untuk merancang langkah seterusnya.

Apabila Formula 1 kembali bersambung, peminat mungkin hanya melihat kereta yang sama di atas litar. Sebaliknya, banyak keputusan penting telah dibuat sepanjang tempoh rehat ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related