Jenama sukan global, Brooks, kini beralih arah daripada imej “eksklusif untuk pelari” kepada jenama sokongan pelbagai sukan (multi-sport). Dalam majlis pelancaran wajah baharu kedai konsep global mereka di Sunway Pyramid, Victor Tiew, Pengarah Brooks Malaysia (Paragon Vest), mendedahkan strategi baharu syarikat itu untuk mendekati komuniti atlet kebangsaan yang lebih luas.
Majlis pembukaan tersebut jelas mencerminkan perubahan pendekatan Brooks apabila ia turut dimeriahkan dengan kehadiran atlet kebangsaan daripada pelbagai cabang sukan. Antara yang hadir ialah jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan, bersama Muhamad Aznil Bidin.
Turut hadir memberikan sokongan ialah pelumba berbasikal trek negara seperti Muhammad Fadhil Zonis, Nur Aisyah Zubir dan Anis Amira Rosidi. Kehadiran atlet muaythai, Amisha Azril, pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, serta Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, turut menyerikan majlis tersebut. Selain itu, acara ini juga disokong oleh barisan duta Brooks sedia ada yang selama ini menjadi wajah dan wakil jenama berkenaan.
Misi Mencari “Brooks 11”
Salah satu pengumuman utama dalam majlis tersebut adalah perancangan Brooks untuk melantik 11 orang duta daripada kalangan atlet kebangsaan. Namun, apa yang membezakan misi kali ini adalah kepelbagaian disiplin sukan yang dicari.
“Kami sedang dalam proses perbincangan untuk kolaborasi lanjut. Kami mahu (melantik 11 duta), tetapi kami perlu tahu terma dan syarat, bagaimana kami boleh menyokong mereka, dan produk apa yang sesuai untuk mereka,“ jelas Victor Tiew.
Beliau menegaskan bahawa Brooks tidak lagi mengehadkan diri kepada atlet balapan sahaja. “Sekarang kami cuba untuk pergi ke arah ‘multi-sport’. Sebab itu hari ini kita jemput semua atlet sukan kebangsaan dari sudut berbeza, bukan hanya pelari sahaja.”
Victor menjelaskan bahawa setiap atlet, tanpa mengira sukan utama mereka, memerlukan latihan kardio yang melibatkan larian. Namun, larian tanpa sokongan kasut yang betul sering menjadi punca atlet terpaksa berehat panjang.
“Terlepas dari apa jua sukan, semua orang kena buat kardio, kena lari. Tapi larian sentiasa menjadi cabaran terbesar kerana kecederaan selalunya terkumpul. Jadi sekarang kami cuba membantu ke arah tahap itu,” kata Victor.
“Produk Brooks selama ini memang sangat fokus pada larian. Jadi tugas kami sebagai pengedar tempatan adalah untuk mengajar mereka bila masanya mahu guna produk yang mana satu, dan apa yang lebih sesuai untuk mereka.”
Menariknya, Victor mendedahkan bahawa Brooks sedang meneroka peluang untuk bekerjasama dengan atlet daripada sukan yang jarang dikaitkan dengan kasut larian secara langsung.
“Kami cuba untuk dapatkan kesimpulan (mengenai 11 duta ini) pada tahun ini. Pastinya ada beberapa sukan berkaitan yang kami akan bawa masuk. Contohnya sukan permotoran dan lumba basikal—kami masih mahu teroka lebih banyak lagi,” tambahnya.
Beliau memberi contoh atlet triatlon (berenang, berbasikal, berlari) sebagai antara fokus utama selain sukan arus perdana yang lain. Malah, majlis tersebut turut dihadiri oleh bekas atlet kebangsaan Sukan SEA dalam acara triatlon.
Sains Gait Analysis untuk Atlet
Bagi menyokong misi ini, kedai konsep baharu di Sunway Pyramid ini bukan sekadar tempat menjual kasut, tetapi berfungsi sebagai pusat teknikal. Atlet dan orang awam boleh menjalani ‘Gait Analysis’ untuk mengenal pasti cara mereka berjalan dan berlari.
“Sekarang anda boleh datang untuk alami sendiri, pakai, jalan-jalan, dan lihat khidmat pelanggan kami serta analisis gaya jalan (gait analysis) di kedai ini,” ujar Victor. Dengan sejarah 110 tahun, Brooks mempertaruhkan teknologi kusyen tinggi yang mampu melindungi kaki atlet daripada kecederaan sebelum hari pertandingan tiba.

Sebagai pengedar tunggal sejak 30 tahun lalu di Malaysia, Singapura, dan Indonesia, langkah ini menandakan era baharu bagi Paragon Vest. Dengan membawa konsep global yang sama seperti di China dan seluruh dunia ke Malaysia, mereka tekad membuktikan bahawa teknologi Brooks adalah keperluan asas bagi setiap individu bergelar atlet.
“Pada akhirnya, Brooks mahu masuk (menyokong) hanya untuk membantu mereka dalam latihan harian. Kerana untuk mereka beraksi semasa pertandingan, produk teras mereka mungkin bukan kasut larian, tetapi latihan mereka tetap memerlukannya,” tutup Victor.


