Bezzecchi buru dominasi di Jerez

Momentum luar biasa terus mengiringi Marco Bezzecchi dan Aprilia Racing menjelang aksi Grand Prix Sepanyol MotoGP di Circuito de Jerez-Ángel Nieto.

Selepas hujung minggu memecahkan rekod di Austin, gandingan Itali itu tampil cukup dominan dengan lima kemenangan berturut-turut serta 121 pusingan mendahului, satu pencapaian yang meletakkan mereka sebagai pasukan paling sukar digugat setakat musim 2026.

Namun, cabaran sebenar menanti di Sepanyol, di mana lebih 100,000 penyokong tempatan dijangka memberi sokongan penuh kepada hero mereka sendiri.

Antara pencabar utama sudah tentu rakan sepasukan Bezzecchi, Jorge Martin, yang kini hanya ketinggalan empat mata dalam kejuaraan. Juara dunia 2024 itu kembali berada pada prestasi terbaik selepas meraih kemenangan Sprint dan podium di Texas, sekali gus menjanjikan persaingan dalaman Aprilia yang semakin sengit di bumi Andalucia.

Dalam kem satelit pula, Ai Ogura berazam menebus kekecewaan selepas masalah teknikal menafikan peluang podium sulungnya di Austin, manakala Raul Fernandez mengintai kebangkitan di laman sendiri.

Sementara itu, kem Red Bull KTM Factory Racing diketuai Pedro Acosta dilihat sebagai pencabar terdekat. Walaupun belum meraih kemenangan Ahad, Acosta mempamerkan peningkatan ketara di Austin dan kini hanya 21 mata di belakang pendahulu.

Rakan senegara, Enea Bastianini, turut mencuri perhatian selepas dinaikkan ke podium, manakala Brad Binder berharap perlumbaan di Eropah mampu menghidupkan semula musimnya. Ketiadaan Maverick Viñales akibat kecederaan serta Pol Espargaró yang turut tidak cergas memaksa Tech3 berlumba dengan hanya satu jentera.

Di pihak Ducati Lenovo Team, tekanan semakin memuncak ke atas Marc Marquez yang masih belum meraih podium perlumbaan utama musim ini walaupun cemerlang dalam Sprint. Dengan ketinggalan 36 mata, juara dunia tujuh kali itu pasti mahu bangkit di laman sendiri, lokasi yang kali terakhir dimenanginya pada 2019.

Rakan sepasukan, Francesco Bagnaia, turut mencari kebangkitan selepas prestasi tidak konsisten, walaupun memiliki rekod hebat di Jerez.

Menariknya, pelumba Fabio Di Giannantonio muncul sebagai wakil Ducati paling konsisten setakat ini, manakala Alex Marquez dan Franco Morbidelli turut memburu kebangkitan. Dalam masa sama, Fermin Aldeguer kembali cergas selepas kecederaan dan bersedia memberi cabaran di laman sendiri.

Pasukan Honda HRC Castrol dan Monster Energy Yamaha MotoGP pula terus berusaha merapatkan jurang. Joan Mir dan Luca Marini menunjukkan perkembangan positif, manakala Fabio Quartararo berharap kelebihan di Jerez mampu mengembalikan Yamaha ke kelompok hadapan.

Turut mencuri perhatian ialah Toprak Razgatlioglu yang akhirnya meraih mata pertamanya dalam MotoGP, satu petanda awal kebangkitan buat Yamaha.

Dengan pelbagai naratif menarik dominasi Aprilia, kebangkitan pelumba tuan rumah, serta tekanan ke atas pencabar utama Jerez sekali lagi menjanjikan aksi penuh dramatik. Sama ada Marco Bezzecchi mampu meneruskan rentak kemenangan atau dicabar hebat oleh pencabar lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related