Pelumba negara, Hakim Danish sekali lagi mencipta sensasi apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok barisan hadapan selepas mencatat masa 2 minit 10.529 saat dalam sesi kelayakan GP Malaysia.
Catatan tersebut menyaksikan Hakim menduduki tempat ketiga, di belakang Maximo Quiles yang meraih petak pertama dengan masa 2 minit 10.396 saat, manakala Brian Uriarte berada di tempat kedua dengan perbezaan hanya 0.084 saat daripada pendahulu.
Mengulas pencapaiannya, Hakim meluahkan rasa syukur selepas berjaya meraih petak ketiga meskipun mengakui bukan mudah untuk mencapai keputusan tersebut.
“Syukur Alhamdulillah untuk P3. Bukan mudah, tetapi saya bekerja keras dan cuba memberikan yang terbaik pada setiap pusingan untuk mendapatkan tempat di barisan hadapan.
“Front row ini sangat bermakna untuk saya. Sejujurnya, saya agak tertekan kerana beraksi di halaman sendiri, jadi saya sangat gembira dengan keputusan hari ini.
“Untuk esok, ia merupakan perlumbaan yang sangat penting. Saya akan cuba bersaing bersama pelumba-pelumba terpantas di kelompok hadapan dan memberikan yang terbaik.
“Sektor 1 dan sektor 3 masih menjadi kelemahan saya dan saya perlu memperbaikinya lagi,” katanya.
Hakim turut menjadikan kejayaan abangnya, Fahmi yang pernah meraih petak pertama pada 2012 sebagai inspirasi untuk terus berusaha.
Sebagai rekod, kali terakhir Hakim Danish berjaya menempatkan diri di barisan hadapan adalah ketika GP Itali, apabila beliau meraih petak kedua sebelum melengkapkan perlumbaan dengan pencapaian podium di tempat ketiga keseluruhan.


