Rabu, 02 September: SEPANG bakal menjadi antara lokasi terpenting dalam pembukaan era baharu MotoGP apabila Litar Antarabangsa Sepang (PETRONAS Sepang International Circuit) dipilih sebagai lokasi Shakedown Test dan ujian rasmi pertama musim 2027.
Musim MotoGP 2027 bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah Kejuaraan Dunia apabila jentera baharu berkapasiti 850cc mula diperkenalkan, selain menyaksikan perubahan besar terhadap barisan pelumba dan jentera yang bakal bersaing.
Aksi di litar bagi era baharu ini akan bermula menerusi Valencia Test pada 1 Disember 2026, yang akan menjadi penampilan pertama pelumba dengan jentera 850cc baharu.
Selepas itu, tumpuan beralih ke Sepang apabila Shakedown Test dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Januari 2027.
Ujian tersebut dikhususkan kepada pelumba ujian pasukan pengeluar serta pelumba rookie sebelum semua pelumba turun ke litar untuk Sepang Test pada 31 Januari dan 1 Februari 2027.
Ini bermakna Sepang akan menjadi lokasi aksi MotoGP selama empat hari berturut-turut, dengan dua hari Shakedown diikuti dua hari ujian rasmi.
Selepas Sepang, paddock MotoGP akan bergerak ke Thailand untuk Buriram Test pada 6 dan 7 Februari, yang menjadi ujian rasmi kedua sebelum musim bermula.
MUSIM 2027 BERMULA DI THAILAND
Selepas selesai semua persiapan pra-musim, MotoGP akan mengadakan Season Launch 2027 di Rio de Janeiro, Brazil pada 21 Februari.
Botafogo Beach dipilih sebagai lokasi acara tersebut, membawa MotoGP kembali ke tengah-tengah salah satu bandar paling ikonik di dunia.
Tidak lama selepas itu, perlumbaan pertama musim 2027 akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand dari 5 hingga 7 Mac menerusi Grand Prix Thailand.
JADUAL PRA-MUSIM MOTOGP 2027
🏁 Valencia Test: 1 Disember 2026
🏁 Shakedown Test – Sepang: 29–30 Januari 2027
🏁 Sepang Test: 31 Januari–1 Februari 2027
🏁 Buriram Test: 6–7 Februari 2027
🌎 MotoGP Season Launch – Rio de Janeiro: 21 Februari 2027
🇹🇭 Grand Prix Thailand – Perlumbaan pertama: 5–7 Mac 2027
MOTO2 & MOTO3 TURUT UJI JENTERA DI JEREZ
Dalam perkembangan sama, jadual ujian pra-musim bagi kategori Moto2 dan Moto3 turut disahkan.
Kesemua sesi ujian bagi kedua-dua kategori akan berlangsung di Circuito de Jerez-Angel Nieto, Sepanyol.
Bagi Moto2, dua sesi ujian akan diadakan iaitu satu ujian persendirian dan satu ujian rasmi, manakala Moto3 akan menjalani satu ujian rasmi.
🏍️ Moto2 Private Test: 16–17 Februari 2027
🏍️ Moto3 Official Test: 18–19 Februari 2027
🏍️ Moto2 Official Test: 20–21 Februari 2027
Dengan perubahan kepada jentera 850cc serta beberapa perubahan besar dalam era baharu MotoGP, musim 2027 dijangka menjadi antara musim paling dinanti-nantikan.
Dan sebelum perlumbaan pertama di Thailand bermula, Sepang bakal menjadi antara pentas utama untuk menyaksikan secara dekat bagaimana era baharu MotoGP itu bermula.


