Fermín Aldeguer bakal membuka lembaran baharu dalam karier MotoGP apabila disahkan menyertai Pertamina Enduro VR46 Racing Team bagi musim 2027 dan 2028.
Pelumba Sepanyol itu akan meninggalkan pasukan semasanya untuk menyarung jersi berwarna kuning Fluo VR46, selain bakal menjadi pelumba rasmi Ducati Corse dan mendapat peluang menunggang jentera Ducati Desmosedici GP spesifikasi kilang.
Aldeguer kini mengharungi musim keduanya dalam MotoGP selepas membuat penampilan sulung pada 2025. Beliau terus mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai Rookie of the Year, termasuk meraih kemenangan sulung di MotoGP pada Grand Prix Indonesia.
Kemenangan tersebut turut menjadikan Aldeguer sebagai pelumba kedua termuda dalam sejarah MotoGP yang memenangi perlumbaan, selain mengumpul tiga podium dan menamatkan musim debutnya dalam kelompok 10 terbaik kejuaraan.
Sebelum melangkah ke kelas premier, Aldeguer terlebih dahulu membina namanya menerusi pelbagai kejuaraan peringkat serantau dan kebangsaan di Sepanyol sebelum menguasai saingan Eropah. Beliau membuat penampilan pertama dalam paddock Kejuaraan Dunia menerusi MotoE pada 2021 sebelum berpindah ke Moto2.
Prestasinya dalam kelas pertengahan semakin menyerlah selepas mempamerkan beberapa kemenangan menarik, termasuk ketika mendominasi saingan European Moto2, sekali gus menjadikannya antara prospek muda paling mendapat perhatian sebelum dinaikkan ke MotoGP.
Musim 2026 pula agak mencabar buat Aldeguer apabila beliau kini berada di kedudukan ke-11 kejuaraan, dengan satu podium di Barcelona. Pelumba muda itu turut terlepas tiga perlumbaan akibat kecederaan.
Mengulas perpindahan tersebut, Aldeguer mengakui amat teruja untuk meneruskan kariernya bersama VR46, lebih-lebih lagi kerana pasukan itu diasaskan oleh idolanya, Valentino Rossi.
“Saya sangat gembira untuk mengambil langkah seterusnya dalam karier MotoGP bersama Pertamina Enduro VR46 Racing Team. Menandatangani kontrak dengan pasukan Valentino adalah sesuatu yang luar biasa. Dia sentiasa menjadi salah seorang idola dan contoh teladan saya.
“Saya fikir kehadirannya dalam pasukan akan membantu saya berkembang sebagai pelumba menerusi nasihat berharga yang boleh diberikannya,” kata Aldeguer.
Dengan MotoGP bakal memasuki era baharu pada 2027, Aldeguer menyifatkan peluang menunggang Ducati spesifikasi kilang sebagai satu kelebihan besar dalam proses pembangunan sepanjang musim.
Beliau turut menetapkan sasaran untuk menyesuaikan diri dengan tayar dan jentera baharu, selain mengutamakan konsistensi serta mengurangkan kesilapan.
“Ia akan menjadi tahun untuk kami mengejar konsistensi, mengelakkan kesilapan dan menghabiskan sebanyak mungkin masa di atas jentera untuk mengumpul maklumat. Saya yakin kami mampu bekerjasama dengan baik bersama seluruh pasukan dan jurutera Ducati.
“Kami boleh melakukan kerja yang hebat dan menyasarkan untuk secara konsisten menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik.”


