Bagi peminat F1 generasi baru, mungkin ada sudah biasa dengan nombor seperti 1, 4, 16, 33, 44 dan 63. Tetapi pernahkah anda terfikir jika ada kereta F1 yang menggunakan nombor 0?
Jawapannya, ada!
Sejarah unik ini bermula di salah satu litar paling bersejarah dalam F1, iaitu Kyalami, Afrika Selatan. Ketika ini, terdapat desas-desus bahawa F1 mungkin akan kembali ke Afrika Selatan selepas lebih 30 tahun meninggalkan negara tersebut. Walaupun masih belum ada pengesahan rasmi daripada Formula 1 atau FIA, usaha untuk membawa semula Grand Prix Afrika Selatan menjadikan Kyalami kembali menjadi perhatian dunia permotoran.
Menariknya, jika F1 benar-benar kembali ke Kyalami, ia akan kembali ke tempat yang pernah menyaksikan satu sejarah unik, iaitu kemunculan penggunaan kereta bernombor 0 dalam era moden F1.
Apabila Juara Dunia Meninggalkan Nombor 1
Kisah ini berlaku pada musim 1993.
Pada tahun sebelumnya, Nigel Mansell berjaya memenangi Kejuaraan Dunia Formula 1 bersama Williams. Sebagai juara dunia bertahan, Mansell sepatutnya membawa nombor 1 pada musim berikutnya. Namun, Mansell meninggalkan Formula 1 selepas musim 1992 untuk berlumba dalam siri CART di Amerika Syarikat.
Masalahnya, dalam sistem nombor F1 ketika itu, nombor 1 hanya diberikan kepada juara dunia yang masih bertanding. Disebabkan juara bertahan tiada dalam grid, Williams tidak boleh menggunakan nombor 1. Jadi, pasukan itu diberikan nombor 0 dan 2 untuk musim 1993. Alain Prost, yang menyertai Williams selepas bersara sementara, menggunakan nombor 2, manakala rakan sepasukannya, Damon Hill, menerima nombor yang sangat luar biasa:
Nombor 0.
Debut Nombor 0 Berlaku Di Kyalami
Grand Prix Afrika Selatan 1993 di Kyalami menyaksikan satu sejarah dalam F1 di mana sebuah kereta bernombor 0 menyertai perlumbaan. Damon Hill membawa Williams FW15C dengan nombor 0 dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Alain Prost.
Walaupun nombor tersebut kelihatan pelik, ia bukan sekadar hiasan. Hill benar-benar berlumba menggunakan nombor itu sepanjang musim 1993. Malah, apabila Prost bersara selepas memenangi kejuaraan dunia 1993, Williams sekali lagi tidak mempunyai juara dunia bertahan untuk musim 1994. Hill sekali lagi menggunakan nombor 0 untuk keseluruhan musim tersebut.
Sekiranya GP Afrika Selatan benar-benar kembali ke kalendar F1, Kyalami bukan sahaja membawa kembali perlumbaan ke benua Afrika tetapi juga menghidupkan semula kenangan salah satu kisah paling unik dalam sejarah F1.


