Kemenangan Haziq Fairues di Sepang bukti semangat juang tinggi bersama Honda

Pusingan ke-2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 bagi kategori CP150 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) menyajikan aksi penuh dramatik dan pertarungan sengit sehingga ke garisan penamat, sebelum Haziq Fairues dari pasukan IDEMITSU HONDA YAM RACING muncul sebagai pemenang dalam perlumbaan yang sukar dijangka.

Bermula dari petak ke-10 selepas sesi Super Pole, Haziq tidak diberi laluan mudah apabila perlumbaan sejak awal lagi dipenuhi aksi saling memintas dalam kelompok hadapan. Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR terlebih dahulu mendahului perlumbaan pada lap pembukaan sebelum dicabar rapat oleh Fareez Afeez Abd Rahman dan Nazirul Izzat.

Rentak perlumbaan mula berubah pada lap kedua apabila Amirul Ariff Musa dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING mengambil alih pendahuluan. Kehadiran beberapa lagi pelumba seperti Farish Hafiy Farid Sezli dan Abdullah Qayyum menjadikan kelompok hadapan semakin padat dan sukar diramal.
Sepanjang enam lap pertama, kedudukan pendahulu terus berubah-ubah dengan Hafiy, Helmi Azman dan Qayyum saling bertukar posisi di depan. Helmi turut mencatat masa terpantas perlumbaan dengan 1’21.951s, sekali gus meningkatkan tekanan dalam perebutan podium.

Memasuki pertengahan perlumbaan, aksi semakin panas apabila lebih lapan pelumba berada dalam kelompok utama dengan peluang kemenangan terbuka luas. Muzakkir Mohamed dari VOGE RACING TEAM dan Irfan Haykhal Amidi antara pelumba yang sempat mengetuai perlumbaan sebelum aksi menuju penentuan dramatik di lap terakhir.

Irfan mendahului kelompok hadapan ketika memasuki lap terakhir, namun situasi berubah secara mengejut di selekoh terakhir apabila Azroy Hakeem Anuar dan Amirul Ariff terjatuh ketika pertarungan sengit berlangsung. Kesilapan itu membuka ruang terbaik buat Haziq untuk melakukan serangan terakhir.
Mengambil peluang yang hadir di saat genting, Haziq berjaya memecut melepasi garisan penamat dengan catatan masa 15’23.122s, hanya 0.006 saat di hadapan Iqbal Amri dari AHM MOTOR SPORTS KM+ RACING LUBE yang mencatat 15’23.128s. Tempat ketiga pula menjadi milik Helmi Azman dengan catatan 15’23.165s.

Kemenangan ini cukup bermakna buat Haziq selepas penantian panjang selama tiga tahun tanpa kemenangan.

“Ini perlumbaan yang sangat di luar jangkaan bagi saya kerana sebelum ini saya tidak pernah bersaing dalam keadaan semua pelumba berada dalam satu kelompok rapat seperti ini.

“Pada lap terakhir, saya merasakan tuah menyebelahi saya di selekoh terakhir apabila ada pelumba melakukan kesilapan. Ketika itu saya nampak peluang terbaik untuk cuba merebut kemenangan.

“Terima kasih kepada pasukan dan keluarga. Penantian selama tiga tahun tanpa kemenangan akhirnya tidak sia-sia. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada semua yang sentiasa berada di belakang saya memberi sokongan tanpa henti,” kata Haziq.

Kemenangan dramatik ini bukan sahaja menghadiahkan keputusan besar buat IDEMITSU HONDA YAM RACING, malah membuktikan semangat juang tinggi Haziq Fairues untuk kembali berdiri di podium tertinggi Malaysian Cub Prix.


Untuk perkembangan terkini dunia perlumbaan tempatan dan antarabangsa, layari tarmacsports.com⁠

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related