Detik cemas berlaku dalam Grand Prix Catalunya apabila Johann Zarco (Castrol Honda LCR) terbabit dalam kemalangan besar ketika insiden di kawasan gravel yang turut melibatkan jentera Ducati milik Francesco Bagnaia.
Pelumba Perancis itu segera dibawa untuk pemeriksaan perubatan selepas insiden tersebut, namun laporan awal daripada pasukan LCR mengesahkan tiada patah tulang besar yang dikesan.
Menerusi satu kemas kini di Instagram, Zarco sendiri menjelaskan keadaan sebenar kecederaannya selepas kemalangan itu.
“Kami masih menunggu keputusan penuh pemeriksaan. Saya memakai neck brace tetapi ia lebih mengganggu daripada membantu,” katanya.
“Yang paling terjejas adalah lutut saya, terutama ligamen. Tulang femur tidak patah, tetapi saya ada sedikit keretakan di bahagian bawah fibula di buku lali kiri. Saya akan bermalam di hospital untuk pemantauan. Saya ketika ini lebih kepada risau dengan keadaan saya daripada merasakan kecederaan serius yang dialami ketika ini,” jelasnya.
Pasukan LCR kemudian mengesahkan hari ini, bahawa Zarco telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini meneruskan proses pemulihan di rumahnya di Perancis. Beliau juga akan mendapatkan rawatan lanjut bersama pakar lutut, Dr. Bertrand Sonnery-Cottet di Lyon sebelum pelan pemulihan seterusnya ditentukan.
Ketua pasukan LCR, Lucio Cecchinello berkata Zarco menunjukkan mentaliti yang positif walaupun masih kecewa dengan insiden tersebut.
“Dia masih terus bercakap tentang apa yang berlaku di awal perlumbaan. Dia sangat sedih, tetapi dalam masa yang sama sudah mula fokus untuk pulih dan kembali secepat mungkin,” katanya.
Namun begitu, Cecchinello turut mengesahkan bahawa peluang Zarco untuk kembali dalam masa terdekat sangat tipis.
“Buat masa ini, Mugello dan Hungary hampir mustahil. Kita perlu lihat perkembangan lanjut selepas bertemu pakar,” jelasnya.


